SHAH ALAM – Satu transformasi sistem kesihatan awam perlu dilaksanakan dengan meletakkan kawal selia perkhidmatan penting, khususnya hospital awam di bawah badan bebas.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sistem sedia ada tidak lagi praktikal memandangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pengawal selia tunggal kesihatan awam dalam negara tidak mampu menjalankan tugas itu dengan berkesan.
Beliau melihat terdapat keperluan untuk Malaysia mencontohi negara lain seperti United Kingdom (UK) yang mempunyai badan bebas untuk menguruskan kesihatan awam.
"Saya tahu rakan-rakan di KKM tidak suka apabila saya sebut KKM tidak dapat memainkan peranannya dengan baik, namun kita tidak boleh meneruskan sistem ‘highly centralized’ (berpusat tinggi), ia perlu diubah.
"Selama ini, KKM merupakan penyedia, pemain dan satu-satunya pengawal selia kesihatan awam di Malaysia. Itulah sebabnya perubahan dan keputusan dibuat sangat perlahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program The Healthcare Forum 2.0: Counting the Cost of Care: Can Malaysia Make Healthcare Affordable Again? yang berlangsung di Auditorium, Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaya (UM), pada Khamis.
Terdahulu, forum itu menampilkan beberapa tokoh termasuk bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Lee Boon Chye; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Mark O’Dell; Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Thirunavukarasu Rajoo dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam UMMC, Prof Dr Nirmala Bhoo-Pathy.
Justeru, bekas Ketua Pemuda UMNO itu berpandangan hospital kerajaan perlu dikawal selia oleh satu badan khas yang diberikan kuasa membuat keputusan termasuk dalam aspek pelantikan dan peruntukan bajet.
Beliau menyifatkan langkah itu mampu menjadikan sistem kesihatan awam beroperasi dengan lebih cekap, malah isu seperti harga ubat-ubatan dan pengawalseliaan fasiliti swasta juga boleh diletakkan di bawah tanggungjawab badan bebas tersebut.
Khairy menegaskan, cadangan itu tidak bermaksud KKM akan kehilangan fungsinya, sebaliknya kementerian tersebut masih berperanan dalam aspek lain kesihatan awam seperti farmaseutikal dan ubat-ubatan.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa sebarang transformasi kesihatan awam tidak akan dapat direalisasikan jika KKM terus memegang semua kuasa secara mutlak.