PASIR GUDANG – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung seorang pekerja wanita dikasari oleh seorang lelaki dalam insiden di sebuah pejabat di Taman Kota Masai di sini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya turut mendapati rakaman video kejadian itu yang berdurasi 51 saat dimuat naik di laman Facebook kira-kira jam 8 malam pada Rabu.
"Berdasarkan semakan, mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia 34 tahun yang tampil membuat laporan polis pada 15 Mei 2025, jam 5.53 petang.
"Mangsa memaklumkan kejadian berlaku pada hari sama sekitar jam 1.05 petang di sebuah pejabat di Taman Kota Masai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Difahamkan, siasatan telah selesai dijalankan dan kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor pada 28 Mei 2025 untuk arahan lanjut.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan demi menjaga ketenteraman awam serta memastikan siasatan dapat dijalankan secara teliti dan adil.
Sebarang maklumat lanjut mengenai kes itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Izzat Syafiq Zamziba di talian 014-9242724 atau menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis (IPD) Seri Alam di talian 07-3864222.