SHAH ALAM – Pemaju hartanah, LBS Bina Group Berhad (LBS) mengumumkan keputusan kewangan yang belum diaudit bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (Q1FYE2025).
Berikutan kejayaan menyiapkan beberapa projek pada 2024, LBS terus mengekalkan naratif pertumbuhan yang positif dengan memberi tumpuan kepada pembangunan baharu bagi memastikan trajektori pertumbuhan yang berterusan.
Peningkatan aktiviti pembinaan tapak secara progresif telah mendorong hasil meningkat sebanyak 15 peratus kepada RM329.2 juta pada Q1FYE2025 berbanding RM287.1 juta pada suku sebelumnya.
Dipacu oleh projek-projek utama terutamanya KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Prestige Residence dan projek Idaman, pembangunan LBS di Lembah Klang kekal sebagai penyumbang utama, merangkumi lebih daripada 86 peratus daripada hasil Q1FYE2025.
Peningkatan hasil ini turut menyumbang kepada peningkatan keuntungan selepas cukai kepada RM32.5 juta dalam Q1FYE2025, iaitu lebih dua kali ganda berbanding RM15.8 juta pada suku sebelumnya.
Mengulas dari prestasi syarikat, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, pihaknya optimis dengan permulaan tahun 2025 yang kukuh setelah mencatat jualan sebanyak RM281.2 juta serta tempahan jualan tambahan berjumlah RM256.0 juta.
"Pencapaian ini didorong oleh permintaan yang memberangsangkan terhadap kilang sederhana berteknologi tinggi di Taman Perindustrian Alam Perdana, yang turut dikukuhkan oleh prestasi positif Cameron Centrum susulan kejayaan pelancaran Centrum Iris, iaitu presint kedua dan pembangunan bercampur terbesar pada awal tahun ini.
"Penerimaan pasaran yang menggalakkan bagi kedua-dua projek ini mencerminkan keyakinan tinggi pasaran terhadap pembangunan kami, sekali gus mengukuhkan lagi strategi di dalam menyediakan projek berasaskan permintaan sebenar pasaran,”katanya.