PUCHONG - Taktik sebuah pusat hiburan dilengkapi dua lapisan pintu besi dan laluan rahsia dipercayai untuk melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di Taman Bandar Puteri pada Rabu.
Difahamkan, pintu utama premis berkenaan dikunci dari dalam sehingga memaksa pasukan serbuan mendapatkan bantuan daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Puteri bagi memecah masuk ke premis berkenaan.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin berkata, Ops Gegar yang dijalankan kira-kira jam 10 malam itu disertai 13 pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas (Perisikan), JIM Selangor.
"Struktur keselamatan premis yang kompleks menyukarkan pihaknya untuk menembusi bahagian atas bangunan.
"Pintu besi dua lapisan dan banyak pintu rahsia di bahagian atas menyukarkan pihak kami untuk masuk, namun tindakan pantas yang dijalankan berjaya memberkas seramai 25 warga asing dipercayai PATI selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 75 individu di premis berkenaan," katanya pada Khamis.
Katanya, individu yang ditahan terdiri daripada lelaki warga Laos seramai 11 orang, lelaki Vietnam (lapan), wanita Thailand (empat) dan lelaki Bangladesh (dua) berusia antara 17 hingga 50 tahun.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, serta melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Turut diberkas adalah seorang remaja perempuan warga Vietnam berusia 17 tahun, manakala individu tertua yang ditahan merupakan lelaki Laos berumur 50 tahun," katanya.
Menurutnya, tiga saman saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi namun tiada tangkapan melibatkan majikan direkodkan.
"Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Imigresen dalam membanteras PATI serta memastikan penguatkuasaan undang-undang dijalankan secara menyeluruh dan berkesan.
"Ia akan diteruskan secara berkala di seluruh Selangor sebagai langkah membendung aktiviti pelanggaran undang-undang oleh warga asing," katanya.