[VIDEO] Gudang haram seleweng LPG bersubsidi dalam ladang sawit diserbu

Iklan

KLUANG – Kegiatan penyelewengan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di sebuah premis yang dipercayai beroperasi sebagai gudang haram terbongkar dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Parit Haji Hashim, Simpang Renggam, pada petang Rabu.

Premis yang terletak di kawasan terpencil itu dipercayai digunakan untuk menyimpan dan memindahkan LPG daripada tong bersubsidi 14 kilogram ke tong industri bersaiz 50 kilogram bagi dijual di pasaran gelap.

Iklan
Iklan

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 6 petang hasil risikan pihak berkuasa sejak dua minggu lalu.

Lilis Saslinda (kiri) menunjukkan tong LPG yang dirampas menerusi serbuan dijalankan pada petang Rabu.

"Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 247 tong gas pelbagai saiz, termasuk yang berisi dan kosong, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM61,000.

Iklan

"Modus operandi sindiket ini adalah membeli tong LPG bersubsidi pada harga RM26.40 seunit dan memindahkan isinya ke tong industri. Satu tong industri memerlukan kira-kira tiga tong LPG bersubsidi,” katanya pada sidang akhbar petang Khamis.

Beliau berkata, keuntungan yang diraih menerusi kegiatan itu boleh mencecah antara RM50 hingga RM70 bagi setiap tong industri yang dijual antara RM120 hingga RM150.

Tong LPG yang dirampas menerusi serbuan dijalankan di Simpang Renggam pada petang Rabu.

Iklan

"Lokasi terpencil seperti ini sering menjadi pilihan sindiket kerana sukar dikesan pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, tiada individu ditahan semasa serbuan dijalankan dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti pemilik tanah serta individu yang terbabit.

"Kita akan teruskan siasatan termasuk menyemak status pemilikan tanah dan latar belakang premis,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta dan bagi kesalahan kedua serta berikutnya, denda maksimum RM3 juta bagi individu, jika sabit kesalahan.

Bagi syarikat yang melakukan kesalahan di bawah akta ini, boleh dikenakan denda maksimum RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda maksimum RM5 juta.