SEREMBAN - Pengasuh 'Baby Syifaa' atau Nour Rania Asyifaa Yuseri akan mengemukakan representasi kedua kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi berusia 15 bulan itu di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan, tiga tahun lalu.
Peguam, S Kavittha yang mewakili tertuduh, Khairunnisa Ahmad Damanhuri, 40, memaklumkan perkara tersebut ketika sebutan kes di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
"Saya baru terima arahan daripada anak guam untuk mengemukakan representasi kedua dan mohon tarikh bicara ditetapkan untuk dimasukkan status representasi itu,” katanya.
Jelasnya, pihaknya telah mengemukakan representasi pertama pada Mac lalu, namun ia ditolak oleh pihak AGC.
Timbalan Pendakwa Raya, Intan Noorashikin Nasaruddin pula memberitahu, tertuduh berada dalam jaminan dan pihaknya memohon agar tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan selama empat hari pada 17 dan 18 September serta 9 dan 13 Oktober dikekalkan.
Mengikut pertuduhan, Khairunnisa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri, berusia 15 bulan, telah mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh bicara dikekalkan seperti sebelum ini.
Sebelum ini, media melaporkan pada 31 Julai 2024, Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Baby Syifaa yang ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan adalah disebabkan tekanan pada leher.
Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues yang bermula pada 22 September 2022.
Pada 30 Mac 2022, bapa mangsa, Yuseri, mendakwa anaknya telah dijerut dan bukan meninggal dunia akibat kepala terjerut pada kain buaian.