KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyalurkan pencen penakat berjumlah RM2,553 sebulan serta Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 kepada keluarga bekas petugas media, Allahyarham Mohd Khairi Mazlan yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 25 Mei lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Anis Sabariah Kamaruddin, 45, serta empat anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang masih bersekolah.
Anis Sabariah ketika ditemui berkata, bantuan itu memberi kelegaan kepada keluarganya yang berdepan cabaran besar meneruskan kehidupan selepas kehilangan ketua keluarga.
"Alhamdulillah, faedah ini sedikit sebanyak membantu menampung kos pendidikan dan keperluan harian kami,” katanya ketika menerima kunjungan delegasi Ziarah Prihatin PERKESO di kediamannya di Klang Gate, di sini.
Sementara itu, PERKESO dalam kenyataan memaklumkan caruman terakhir Allahyarham adalah pada Jun 2021, yang melayakkan waris menerima faedah di bawah skim perlindungan sosial agensi berkenaan.
Difahamkan pembayaran pencen akan bermula hujung bulan ini.
Jelas kenyataan itu, kehilangan seorang pencarum merupakan dugaan besar kepada keluarga, namun organisasi itu sentiasa komited menjaga kebajikan mereka yang ditinggalkan.
"Perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar angka bantuan kewangan, tetapi simbol kasih sayang yang diwariskan pencarum kepada insan tersayang walaupun selepas pemergian mereka.
"Inilah asas penubuhan PERKESO – memastikan keluarga pencarum tidak terabai, terutama ketika berdepan saat paling sukar dalam hidup,” menurut kenyataan itu.
PERKESO turut menyeru semua majikan supaya melunaskan caruman pekerja secara konsisten bagi menjamin keluarga mereka mendapat perlindungan sewajarnya sekiranya berlaku perkara tidak diingini.