SHAH ALAM - Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dengan menyalahgunakan 'fleet card' ditumpaskan dalam serbuan di stor haram di Taman Sri Muda di sini pada Rabu.
Serbuan bermula jam 7 petang itu melibatkan sepasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hasil risikan selama sebulan.
Difahamkan, semasa serbuan, terdapat lima individu sedang leka melakukan pemindahan minyak diesel bersubsidi daripada lori bonded ke lori tangki.
Salah seorang tangkapan lelaki tempatan dikenali sebagai Rav yang ditangkap mendakwa, dia berperanan sebagai pemandu lori tangki dengan upah kira-kira RM200 setiap hari.
"Saya ketua mereka (tangkapan pemandu lain) di sini.
"Saya uruskan lori tangki ini dan setiap hari saya akan bawa dari sini (stor) ke satu lokasi di Shah Alam. Lori akan parking di situ sebelum ada orang lain ambil," katanya yang mendakwa telah melakukan kerja itu sejak enam bulan lalu.
Dia juga mendakwa stor terbabit disewa dengan bayaran RM2,000 sebulan oleh ketuanya dikenali sebagai 'Ong'.
Sementara itu, Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan ke atas premis tidak bernombor itu mengesan aktiviti pemindahan bahan api jenis diesel disyaki berunsur penyelewengan yang diperoleh melalui kemudahan 'fleet card' bersubsidi.
"Lori tangki tersebut didapati mempunyai hos sambungan dengan lori bonded yang telah diubah suai dengan dipasang tangki IBC," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini pada Rabu.
Tambahnya, secara keseluruhannya, sembilan kenderaan disita iaitu sebuah lori tangki berkapasiti 30 tan, empat lori kanvas, dua lori bonded, van serta lori 'prime mover'.
Kata Mohd Zuhairi, selain itu, pihaknya turut menyita 7,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM19,390, tangki IBC (14 unit), pam serta hos penyambung.
Tegasnya, lima lelaki tempatan yang berperanan sebagai pemandu lori berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Semakan mendapati premis tidak mempunyai lesen sah menyimpan barang kawalan diesel selain pemandu juga tidak memiliki dokumen sah pemilikan bahan api itu," ujarnya.
Mendedahkan lagi kegiatan sindiket itu, katanya, pemandu lori terbabit mempunyai 'fleet card' dan bergerak membeli diesel di stesen minyak dipercayai di sekitar Shah Alam pada harga subsidi.
"Minyak diesel subsidi yang diperoleh itu akan dipindahkan ke dalam lori tangki di stor terbabit sebelum dibawa bagi urus niaga pasaran gelap.
"Kita percaya mereka ini bergerak setiap hari dan KPDN akan kesan siapa dalang sindiket terbabit selain sejak bila mereka aktif," katanya.
Tambah beliau, KPDN Selangor memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.