Pusat penyembelihan ayam di Pasar Borong Selayang digempur

Iklan
Antara warga asing yang ditahan dalam pemeriksaan di pusat penyembelihan di Pasar Borong Selayang, pada Khamis.

SELAYANG - Enam pusat penyembelihan ayam di Pasar Borong Selayang yang dipercayai beroperasi dengan menggajikan pekerja asing secara tidak sah telah digempur pada Khamis.

Iklan
Iklan

Serbuan yang bermula kira-kira jam 1.45 pagi itu dijalankan oleh sepasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas (BPOK) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Semasa serbuan, terdapat beberapa cubaan pekerja asing melarikan diri.

Iklan

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada antara pusat penyembelihan itu diuruskan secara tidak teratur, dengan kesan darah, najis ayam, serta ayam yang telah selesai disembelih diletakkan di atas lantai.

Malah, Sinar Harian turut difahamkan hanya sebuah premis sahaja diuruskan oleh warga tempatan untuk melakukan kerja-kerja penyembelihan ayam, manakala premis lain dikatakan dikendalikan oleh pekerja asing.

Iklan

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, tindakan ini diambil susulan aduan serta risikan selama tiga minggu.

Katanya, JIM telah menahan 36 lelaki warga asing berusia antara 20 hingga 45 tahun yang berperanan sebagai pekerja di pusat penyembelihan terbabit.

"Warga asing yang ditahan terdiri daripada 10 warga Bangladesh, 25 warga Myanmar, serta seorang warga Indonesia, yang mana ada antara mereka merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Ada juga yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan pada Khamis.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi serbuan hanya menemui dua warga tempatan yang merupakan penyembelih.

Jelasnya, JIM turut mengeluarkan notis saman kepada empat lelaki tempatan untuk hadir bagi membantu siasatan.

"JIM dan JAIS mengingatkan agar masyarakat tidak melanggar undang-undang negara kerana proses penyembelihan perlu memenuhi syarat jabatan agama agar bekalan halal dan tidak was-was," ujarnya.

Sementara itu, Jurucakap JAIS menjelaskan, pihaknya akan menyiasat pemilik premis mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

"Pemeriksaan awal ada menemui ayam yang mati sebelum disembelih sekali gus tidak ikut hukum syarak. JAIS mewajibkan setiap penyembelih memiliki tauliah menyembelih.

"Tauliah ini hanya dibenarkan untuk warga tempatan sahaja, tetapi sekiranya warga asing, hanya mereka yang mempunyai permit kerja sah dalam bidang ini (penyembelihan) sahaja dibolehkan," ujarnya.