ISU keselamatan kanak-kanak di media sosial kembali mendapat perhatian masyarakat sejak kebelakangan ini.
Bagi sesetengah pihak, akses tanpa kawalan kepada media sosial mendedahkan kanak-kanak kepada pengaruh negatif dan individu yang berniat jahat.
Isu ini memuncak apabila seorang pempengaruh media sosial terkenal baru-baru ini didakwa menghantar gambar berunsur lucah kepada remaja perempuan berusia 14 tahun.
Rentetan itu, Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal mencadangkan agar kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial.
Beliau menegaskan bahawa golongan tersebut bersifat ingin tahu dan mudah terpengaruh dengan individu berprofil tinggi yang mereka ikuti.
Cadangan mewujudkan had umur minimum bagi pengguna media sosial kini menjadi perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat.
Ada yang menyokong demi keselamatan kanak-kanak, namun tidak kurang juga yang menolak atas alasan pentingnya digitalisasi dalam kalangan mereka.
SOKONG
Lindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual
Saya berpendapat bahawa penetapan had umur bagi penggunaan media sosial adalah wajar dan perlu dipertimbangkan secara serius.
Ini kerana platform digital kini bukan sahaja menjadi ruang untuk bersosial, malah turut dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuk pemangsa seksual.
Kes melibatkan seorang pempengaruh yang didakwa menghantar kandungan berunsur lucah kepada remaja perempuan baru-baru ini membuktikan betapa mudahnya kanak-kanak bawah umur menjadi mangsa.
Dalam kes ini, individu berpengaruh boleh menggunakan status mereka untuk memperdaya dan mempengaruhi emosi golongan muda yang masih belum matang.
Saya sangat bersetuju bahawa tanpa had umur yang jelas dan penguatkuasaan yang tegas, kanak-kanak akan terus terdedah kepada risiko eksploitasi seksual dalam talian.
Bagi saya, dengan menetapkan had umur yang sesuai, kita bukan sekadar menyekat akses, tetapi memberi ruang kepada intervensi awal seperti pendidikan keselamatan siber dan kesedaran tentang bahaya dalam talian.
Penetapan had umur bukan bermaksud menolak teknologi, tetapi satu langkah bertanggungjawab untuk memastikan mereka menggunakan media sosial dengan selamat dan terkawal.
- Pekerja swasta, Kamalin Huda Azizan, 26
Jaga perkembangan mental dan emosi
Saya setuju sekiranya penggunaan media sosial perlu dihadkan bagi remaja bawah umur 18 tahun.
Pada usia sebegini, mereka masih mudah terpengaruh dengan pelbagai kandungan yang belum tentu sesuai.
Saya sendiri tidak membenarkan anak saya memiliki akaun media sosial sendiri sebelum waktunya tiba.
Jika anak mahu menonton atau mengikuti sesuatu, saya lebih selesa mereka menggunakan akaun saya supaya saya boleh memantau apa yang dilihat dan dikongsikan.
Pendekatan ini penting untuk memastikan mereka tidak terdedah kepada perkara negatif yang boleh memberi kesan buruk kepada perkembangan mental dan emosi mereka.
Secara keseluruhan, saya percaya kawalan ibu bapa adalah kunci utama dalam memastikan media sosial dapat digunakan secara positif oleh golongan muda ini.
- Bekerja sendiri, Nabila Khalid, 40
-------------------------------------------------------------
BANGKANG
Media sosial bantu perkembangan kreativiti kanak-kanak
Saya berpandangan bahawa penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak tidak seharusnya dilihat sepenuhnya sebagai ancaman. Ia juga mampu menjadi ruang pembelajaran luas sekiranya dikawal dengan baik dan digunakan secara berhemah.
Dalam dunia digital kini, kandungan berbentuk pendidikan seperti YouTube, TikTok Edu dan Instagram Reels menawarkan eksperimen sains, tutorial seni dan pelbagai tips belajar yang mampu merangsang minat kanak-kanak.
Saya juga bersetuju bahawa kreativiti anak-anak boleh berkembang lebih pesat apabila terdedah kepada teknologi sejak awal.
Namun begitu, pendedahan ini perlu datang bersama bimbingan. Ibu bapa harus menjadi penapis maklumat yang bertindak membimbing, bukan hanya menghalang sepenuhnya akses kepada media sosial.
Dengan pemantauan aktif dan penggunaan kawalan ibu bapa, risiko terdedah kepada kandungan tidak sesuai dapat diminimumkan, tanpa menafikan peluang mereka untuk belajar dan bereksperimen.
Saya juga percaya bahawa melarang terus kanak-kanak daripada memiliki akaun media sosial bukanlah jalan terbaik. Sekatan menyeluruh mungkin mendorong mereka mencari jalan belakang yang lebih sukar dipantau dan lebih berisiko.
Justeru, literasi digital perlu diterapkan sejak awal. Anak-anak perlu diajar cara mengenal pasti kandungan berbahaya, melindungi privasi dan melaporkan gangguan dalam talian agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran dunia digital.
- Pekerja Swasta, Nur Izazi Mohd Isrook, 26
Risiko wujud ‘jurang’ digital
Saya berpandangan bahawa sekatan menyeluruh terhadap akses media sosial dalam kalangan kanak-kanak mungkin memberi kesan tidak langsung kepada golongan kurang berkemampuan.
Larangan seperti ini boleh memperluas jurang digital antara kanak-kanak di bandar dengan mereka yang berada di luar bandar atau kawasan pedalaman.
Kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah selalunya kurang mendapat akses kepada pendidikan digital secara formal.
Bagi mereka, media sosial menjadi salah satu saluran untuk mendapatkan ilmu secara percuma dan mudah.
Saya bersetuju bahawa dalam dunia serba digital hari ini, mengehadkan akses teknologi bukanlah pendekatan yang adil, terutama jika tiada alternatif setara disediakan.
Saya juga percaya, penyelesaian yang lebih praktikal adalah dengan memperkukuh pendidikan digital termasuk memperbanyakkan kempen kesedaran dan latihan keselamatan siber kepada anak-anak.
Oleh itu, larangan berdasarkan umur semata-mata perlu difikirkan semula, kerana ia boleh menjejaskan peluang pendidikan dan masa depan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
- Pembuat kek, Nurin Mirza Yusof, 27