Lebih 10 tahun bawa bekas sendiri, Nabila jadi inspirasi gaya hidup lestari

Iklan
Nabila yang selalu membawa bekas makanan ke mana sahaja dia pergi.

SHAH ALAM - Membimbit beberapa bekas makanan setiap kali ke pasar malam sudah menjadi kebiasaan buat seorang wanita demi berjimat, selain menyahut usaha menjaga alam sekitar.

Nabila Khalid, 40, berkata, amalan membawa bekas makanan sendiri telah diamalkannya sejak lebih 10 tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Saya memang dah lama mula. Ke mana-mana saya pergi, saya akan bawa bekas sendiri—untuk air guna bekas air, untuk makanan pula bekas khas... termasuklah letakkan satu dalam kereta.

"Kalau beli sayur, saya guna beg jaring atau mesh bag. Untuk ayam, ikan, sotong, saya guna bekas berasingan. Makanan pula guna bekas yang lebih elok,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, tabiat itu timbul selepas melihat sendiri lambakan sampah di kawasan tapak pelupusan yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu.

Bekas makanan yang diisi makanan dan makanan basah yang dibeli di pasar.

"Bila tengok sampah menggunung, saya rasa takut. Dari situlah saya mula buat perubahan bermula dari diri sendiri.

Iklan

"Masa anak-anak saya kecil, saya guna lampin kain boleh basuh, bukan lampin pakai buang kecuali waktu bercuti. Saya memang pilih jalan ini sebab saya nak jaga bumi... bumi sudah beri banyak untuk kita, apa salahnya kita lakukan sesuatu,” ujarnya.

Tambah Nabila yang merupakan seorang pencinta alam, selain mengurangkan sisa plastik, amalan itu turut membantu menjimatkan perbelanjaan seisi keluarganya.

Jelasnya, dia akan merancang pembelian mengikut keperluan dan membawa bekas sendiri, dengan bantuan anak-anak serta suami, sehingga perkara tersebut menjadi rutin yang mudah untuk dilakukan.

"Saya akan rancang dahulu nak beli apa, bekas pun bawa ikut keperluan. Anak-anak dan suami akan bantu bawa. Bila sudah biasa, tak rasa susah pun—kena rajin sahaja... dan saya juga akan pastikan bawa bekas lebihan, mana tahu ada yang nak beli lagi.

"Kalau ada makanan lebih semasa makan di luar, saya terus masukkan dalam bekas sendiri. Tak perlu minta bekas plastik lagi—sudah jimat plastik di situ,” katanya.

Nabila selalu meluangkan masa membersihkan kawasan yang kotor dan dipenuhi sampah.

Bercerita tentang reaksi masyarakat, Nabila yang menetap di Bangi menambah, stigma membawa bekas sendiri semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Sekarang ramai yang sudah terbiasa. Penjual pun dah kenal saya, siap tanya ‘hari ni bawa bekas tak?’ Cuma pernah juga ada peniaga tak mahu guna bekas saya sebab takut tak sama kuantiti.

"Bukan itu sahaja, ada juga kadang-kadang yang lebihkan makanan dalam bekas saya.

"Seronok tau bawa bekas sendiri—rasa puas dan macam ada satu pencapaian peribadi,” jelasnya gembira.

Nabila yang mempunyai perniagaan sendiri turut berkongsi bahawa amalan membawa bekas sendiri untuk membeli makanan dan mengasingkan sampah kini sudah menjadi kebiasaan dalam keluarganya, termasuk suami, anak-anak, ibu serta adik-beradiknya.

Nabila (tiga dari kanan) bersama suami dan anak-anaknya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa gembira apabila videonya yang memaparkan amalan membawa bekas sendiri tular di media sosial dan memberi inspirasi kepada orang lain.

"Ramai yang komen nak ikut jejak saya. Saya sangat bersyukur. Walaupun ada yang kongsi tanpa minta izin, saya okey saja sebab ia untuk sebarkan kesedaran.

"Kita tahu ozon semakin nipis, cuaca panas, sampah banyak—jadi kita kena bertindak. Sebenarnya kita sedar, cuma tiada tindakan.

"Jadi kalau nak berubah, mula dengan sekecil-kecil tindakan—bawa bekas, asingkan sampah, kurangkan plastik... yang penting kena rajin,” nasihatnya.