Kekangan bajet jejas persiapan Bunga Raya 7s wanita ke Sukan SEA

Iklan
Thiam Jin (kanan) bersama barisan pemain dan jurulatih skuad Bunga Raya wanita negara yang muncul naib juara SEA 7s 2025 di Singapura bulan lalu. Foto Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

IMPIAN skuad ragbi tujuh sebelah (7s) wanita negara untuk mencipta kejutan di Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini kian samar apabila persiapan menghadapi temasya dwitahunan tersebut masih berada pada tahap membimbangkan.

Pengurus pasukan, Tan Thiam Jin berkata, semuanya bermula apabila dana diluluskan Majlis Sukan Negara (MSN) pada Februari lalu hanya meliputi latihan secara berfasa selama 14 hari serta satu perlawanan sepanjang tempoh sembilan bulan dari Februari hingga Disember.

THIAM JIN. Foto Sinar Harian/Rosli Talib

Iklan
Iklan

Menurutnya, kem latihan 'ala kadar' tersebut jelas tidak memadai bagi menghadapi kejohanan kompetitif seperti Sukan SEA, selain peruntukan awal telah pun digunakan sepenuhnya bagi persiapan menghadapi Kejuaraan Ragbi 7s Asia Tenggara (SEA 7s) bulan lalu.

Situasi itu memaksa pasukannya mengambil inisiatif sendiri termasuk mendapatkan dana bagi menjayakan program latihan skuad wanita, sementara menantikan keputusan rayuan bantuan tambahan yang telah dikemukakan kepada MSN sejak Mac lalu.

Iklan

"Secara jujurnya, persiapan skuad wanita negara bagi menghadapi Sukan SEA tidak berjalan seperti yang kami rancang sebelum ini.

"Pasukan negara memerlukan latihan sepenuh masa dan dana mencukupi bermula dari Februari hingga Disember bagi menghadapi kejohanan kompetitif seperti Sukan SEA,” katanya.

Iklan

Kekangan

Thiam Jin yang juga Setiausaha Kehormat Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) menjelaskan bahawa kekangan peruntukan telah menyekat peluang skuad 7s wanita menyertai pelbagai kejohanan pendedahan di luar negara.

Sebaliknya, Thiam Jin menjelaskan pemain hanya mampu beraksi di kejohanan kelab tempatan bagi mengekalkan minit permainan.

"Persiapan yang sebegini sememangnya tidak menepati piawaian dan tidak sejajar dengan perancangan latihan asal,” katanya.

Beliau turut membandingkan tahap persiapan kali ini dengan dua edisi terdahulu yang menyaksikan kem latihan dijalankan selama empat bulan bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, manakala latihan intensif sepanjang tahun bagi Sukan SEA Manila 2019.

"Thailand, Singapura dan Filipina telah memulakan latihan intensif sejak tahun lalu lagi. Sedangkan kami masih bergelut mencari dana tambahan untuk melengkapkan empat bulan latihan yang belum dibiayai,” katanya.

Walaupun MSN baru-baru ini menambah tiga bulan latihan sepenuh masa dan sedikit bantuan bagi kos penyertaan dalam Siri Kejuaraan Ragbi Asia yang dijadual berlangsung September hingga Oktober, namun Thiam Jin menegaskan ia masih belum mencukupi.

Ini kerana katanya, skuad wanita perlu menampung sendiri baki empat bulan latihan, termasuk elaun jurulatih, pemain dan kos penyertaan kejohanan.

"Selagi pasukan tidak dapat menjalani latihan sepenuh masa yang berterusan, potensi untuk membawa pulang pingat perak dari Thailand akan terjejas.

"Situasi ini turut menyukarkan kami untuk mendapatkan pelepasan bagi pemain-pemain yang masih menuntut dan bekerja daripada institusi pendidikan dan majikan masing-masing,” jelas beliau lagi.

Rayu sokongan

Ketika ditanya mengenai bantuan dan sokongan daripada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Thiam Jin enggan mengulas lanjut, sebaliknya beliau menyifatkan situasi ini sebagai ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila skuad wanita bukan sahaja berdepan dengan peruntukan bajet yang amat terhad daripada MSN, malah terpaksa berusaha sendiri tanpa sokongan sewajarnya daripada KRM.

Pada masa sama, Thiam Jin turut merayu agar syarikat swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC) tampil membantu dengan memberi sumbangan kewangan bagi menyokong usaha skuad ragbi wanita negara untuk merealisasikan impian membawa pulang pingat berprestij dari temasya Sukan SEA Thailand.

"Sejujurnya, kekuatan dalam kalangan pemain skuad Bunga Raya 7s wanita negara pada ketika ini adalah bermain demi lencana di dada bagi mengharumkan nama Malaysia dalam sukan ragbi.

"Saya juga amat bangga dengan pasukan ini apabila sanggup mengorbankan cuti perayaan bagi persiapan kejohanan yang dibuktikan apabila muncul naib juara di SEA 7s, April lalu.

"Biarpun berdepan dengan segala kekurangan termasuk elaun yang tidak sepatutnya, barisan pemain dan jurulatih masih memberikan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.

INFO

- Skuad Bunga Raya 7s wanita negara meraih kedudukan keempat pada temasya Sukan SEA 2015 di Singapura.

- Dua tahun kemudian, skuad wanita meraih pingat gangsa di laman di laman sendiri selepas menewaskan Filipina 7-5.

- Pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina, skuad wanita berjaya mempertahankan pingat gangsa selepas mengalahkan Indonesia 19-12.

- Acara ragbi 7s wanita tidak dipertandingkan di Sukan SEA 2021 (Vietnam) dan Sukan SEA 2023 (Kemboja).