JOHOR BAHRU - Satu sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah yang menggunakan aplikasi WeChat tumpas dalam satu Operasi Khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 20 dan 21 Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan pertama sekitar jam 3.30 petang itu berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun bersama seorang wanita Vietnam berumur 29 tahun dalam kenderaan jenis Nissan X-Trail di lobi pangsapuri berpagar dan berpengawal di sekitar Jalan Skudai Lama, di sini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan, pihak polis menjumpai beberapa bungkusan peket disyaki dadah jenis syabu, ketamin dan pil Eramin 5.
"Hasil siasatan mendapati rumah pangsapuri disewa suspek lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau.
"Susulan itu, serbuan kedua dijalankan di sebuah rumah teres di kawasan berpagar dan berpengawal di sekitar daerah ini.
"Polis berjaya menahan lima suspek iaitu empat lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berumur 29 hingga 54 tahun yang juga ahli sindiket sama dengan serbuan pertama.
"Hasil pemeriksaan di dalam rumah, yang dipercayai sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan, berjaya menemui dan merampas sejumlah dadah," katanya di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Kumar memaklumkan, pihaknya turut merampas dadah bernilai RM1.23 juta membabitkan serbuk ekstasi (lebih 7.08 kilogram), heroin (lebih 1.37 kilogram), ketamin (139.34 gram), syabu (123.10 gram) dan 127 pil Eramin 5.
Ujarnya, polis turut menyita tiga kereta pelbagai jenis, dua motosikal, wang tunai RM9,320 dan pelbagai barangan kemas bernilai RM32,453.20.
Beliau berkata, pihaknya yakin sindiket yang aktif sejak Januari lalu telah tumpas sepenuhnya hasil penahanan tujuh suspek dari dua serbuan berasingan.
"Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan aplikasi WeChat untuk berurus niaga barang larangan yang dibungkus semula untuk pelanggan tetap mereka.
"Semua urusan melalui WeChat, contohnya orang nak beli, penjual guna WeChat, barang itu akan diletakkan di lokasi yang ditetapkan dan pembeli atau pembekal yang datang akan mengambil barang seterusnya meletakkan duit di situ.
"Mereka meletakkan barang di merata tempat, tiada satu lokasi yang tetap. Urus niaga mereka juga tidak terbuka, mereka sudah mengenal pasti pelanggan tetap sebelum berurus niaga.
"Kesemua suspek direman untuk siasatan sehingga 2 Jun depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala warga Myanmar disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kumar memaklumkan pihaknya turut menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah di Pontian pada 21 Mei lalu.
Katanya, lelaki berumur 35 tahun itu ditahan lebih kurang jam 6 petang di sebuah rumah teres yang disewa dipercayai sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan.
"Kegiatan suspek yang turut positif methamphetamine itu dipercayai sudah aktif sejak Mac lalu.
"Polis merampas sebanyak 6.40 kilogram serbuk ekstasi, ketamin (5.66 gram), syabu (20.04 gram), 76 biji pil ekstasi dan lapan biji pil yaba yang keseluruhannya bernilai RM1.07 juta," katanya.
Beliau berkata, dadah ini boleh digunakan seramai 21,559 orang penagih jika terlepas ke pasaran.
"Dalam serbuan ini polis juga merampas wang tunai RM600.
"Kita masih lagi mengesan saki baki ahli sindiket yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah ini dan suspek kini direman sehingga 2 Jun depan," katanya.