Malaysia guna AI selenggara jalan raya, infrastruktur

Iklan
Alexander (empat dari kanan) bergambar sewaktu di pameran Forum Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Asia Pasifik 2025.

SUWON - Malaysia terus mengorak langkah dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan, keselamatan dan keberkesanan penyelenggaraan jalan raya serta infrastruktur.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Malaysia bukan hanya menjadi pemerhati teknologi tersebut, sebaliknya kini menjadi antara negara yang menerapkan AI dalam pengurusan jalan raya.

Iklan
Iklan

"Melalui teknologi pemantauan pintar seperti dron, sensor dan teknologi Internet Kebendaan (IoT), kita akan mampu mengesan kerosakan jalan dalam masa nyata.

"AI pula membantu kita menganalisis data tersebut untuk menentukan lokasi yang memerlukan perhatian segera serta menjangka potensi kerosakan masa depan.

Iklan

"Semua ini meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos dalam pengurusan jalan raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pembentangan bertajuk ‘Malaysia’s Future-Ready, Hyper-Connected Cities: Policies, Progress, and the Path Ahead’ di Forum Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Asia Pasifik 2025 di sini, pada Khamis.

Alexander ketika membuat pembentangan bertajuk ‘Malaysia’s Future-Ready, Hyper-Connected Cities: Policies, Progress, and the Path Ahead’ di Forum Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Asia Pasifik 2025.

Iklan

Dalam pada itu, Alexander turut berkongsi hala tuju strategik Kementerian Kerja Raya menerusi penyediaan Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030.

Menurutnya, pelan itu digerakkan dengan visi membina mobiliti negara lebih selamat, bersambung dan mampan dengan ITS sebagai teras utama pembangunan infrastruktur digital.

"ITS kini satu keperluan asas dalam membina bandar masa depan yang berdaya tahan, efisien dan lestari.

"Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030 yang sedang dirangka ini akan menjadi panduan utama kita dalam mentransformasikan landskap ITS negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, lima teras dasar yang akan menjadi tunjang pelaksanaan pelan tersebut ialah Pengangkutan hiperhubung melalui mobiliti pintar tanpa gangguan.

Selain itu, Laluan ke arah mobiliti hijau dan lestari, Perkhidmatan awam diperkukuh melalui pendigitalan pengangkutan, Ekosistem pengangkutan yang selamat dan terjamin dan Pemanfaatan data untuk perancangan mobiliti serta pengangkutan.

Jelasnya, terdapat revolusi menarik sedang berlaku dalam landskap ITS di Malaysia termasuk kemajuan kenderaan autonomi (AV), penggunaan kenderaan elektrik dalam sistem pengangkutan awam, pengenalan sistem Multi-Lane Free Flow (MLFF) dan penubuhan Pusat Pengurusan Trafik Pintar Kebangsaan (NITMC).

"Semua perancangan ini akan diterjemahkan kepada tindakan. Malaysia akan terus berinovasi, melabur dan bekerjasama untuk membina sebuah negara yang hiperhubung.

"Inisiatif transformasi ini mencerminkan komitmen teguh Malaysia untuk membina ekosistem pengangkutan yang lebih selamat, cekap dan lestari, selaras dengan visi lebih besar kita ke arah bandar hiperhubung," katanya.