KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan lebih banyak kertas siasatan akan dibuka bagi tujuan melucutkan hak sebahagian harta milik bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Dr Daim Zainuddin dan keluarganya yang tidak diisytiharkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan yang telah diatur dan dirancang bagi menentukan status hak milik harta-harta tersebut, yang dipercayai diperoleh secara menyalahi undang-undang.
"Jumlah keseluruhan harta yang telah dikesan SPRM setakat ini adalah RM2 bilion, namun ia mempunyai pecahan-pecahan yang memerlukan tindakan melucut hak secara berasingan.
"Setiap harta yang terlibat dalam tindakan pelucutan hak memerlukan satu permohonan kertas siasatan.
"Setakat ini, hanya lapan kertas siasatan yang telah dibuka dan ya... ia mungkin akan bertambah selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran Polisi Integriti di Universiti Islam Selangor di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Azam turut menyelar kenyataan peguam isteri dan keluarga Daim yang menyifatkan tindakan SPRM sebagai tidak masuk akal dan tidak berasas dari segi undang-undang.
"Berasas atau tidak, itu adalah pandangan beliau. Mereka juga mempunyai hak untuk menyuarakan sebarang pandangan,” ujarnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa SPRM sedang berusaha untuk melucutkan hak pemilikan harta milik Daim, keluarganya serta proksi-proksinya.
SPRM turut dipercayai sedang menjejaki aset yang tidak diisytiharkan dan berkemungkinan berada di luar negara.