KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan seramai 144 individu dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia menerusi Op Pintas Mega yang dilaksanakan pada Februari lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 249 individu turut ditahan dalam 45 serbuan yang dijalankan di seluruh negara.
"Dalam operasi itu, kita berjaya menyelamatkan 144 mangsa yang terperangkap dalam jaringan eksploitasi manusia di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan di Bukit Aman di sini pada Rabu.
Menurut Razarudin, operasi tersebut dilaksanakan secara bersepadu oleh Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama kontinjen seluruh negara.
"Operasi ini turut melibatkan rakan strategik lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Ia jelas membuktikan kesungguhan dan keupayaan kita dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran secara tuntas dan profesional,” katanya.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, JSJ turut menunjukkan komitmen tinggi dalam membanteras kegiatan perjudian haram menerusi pelaksanaan Operasi Dadu Khas.
"Sepanjang operasi ini, seramai 8,603 individu ditahan dalam 6,719 serbuan yang dilaksanakan.
"Hasil daripada kesemua serbuan tersebut, kita telah merampas 3,464 peranti elektronik termasuk komputer, tablet, dan telefon bimbit, selain wang tunai melebihi RM1.6 juta,” ujarnya.
Beliau berkata, tindakan itu memperlihatkan ketegasan PDRM yang tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti jenayah termasuk perjudian haram yang menyalahi undang-undang serta menggugat ketenteraman awam.
Tambah beliau, JSJ juga melakar kejayaan melalui pelaksanaan Operasi Cyber Guardian anjuran Pihak Berkuasa Singapura dengan penglibatan enam buah negara, iaitu Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan Malaysia.
"Operasi yang dijalankan dari 28 Februari hingga 28 Mac lalu memberi tumpuan kepada pembanterasan jenayah penganiayaan seksual kanak-kanak secara atas talian.
"Hasil operasi ini, empat individu terdiri daripada seorang akauntan, pereka web, pekerja industri telekomunikasi dan seorang penjawat awam berjaya ditangkap, dengan rampasan lebih 50,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM).
"Tangkapan dan rampasan ini membuktikan keseriusan ancaman jenayah siber seksual terhadap golongan rentan,” katanya.