PEKAN – Polis menafikan dakwaan tular berhubung kejadian pukau dan samun bersenjata yang dikatakan berleluasa di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, semakan dan siasatan yang dijalankan mendapati tiada kejadian seumpama itu berlaku seperti yang didakwa dalam media sosial.
Iklan
Iklan
"Setakat ini, tiada laporan polis diterima berkaitan dakwaan tersebut. Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.
"Sebaiknya rujuk kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan pengesahan sebelum berkongsi maklumat,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran di Facebook yang mendakwa kononnya berlaku kejadian pecah rumah menggunakan kaedah pukau melibatkan suspek warga asing bersenjatakan parang.
Dalam hantaran itu, kejadian didakwa berlaku di Kampung Ketapang Tengah, membabitkan kehilangan barang kemas, wang tunai dan barangan berharga.
Modus operandi suspek turut dihuraikan secara ringkas, termasuk mengetuk pintu rumah sambil memberi salam dengan cara yang mencurigakan sebelum dipercayai memukau mangsa dan masuk ke rumah bersenjatakan parang.