PUTRAJAYA - Kepelbagaian latar belakang dan kepakaran yang dimiliki ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) memberi nilai tambah kepada keberkesanan jawatankuasa terbabit sebagai pemantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi JKMR, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, selain itu ia juga akan meningkatkan kredibiliti Laporan Tahunan SPRM yang akan dikemukakan kelak.
"Kita perlu menghormati bidang kuasa masing-masing, sama ada JKMR mahupun SPRM, komited kepada objektif bersama, mengutamakan ketelusan, justeru kepercayaan umum terhadap tadbir urus negara dapat dipertahankan.
"JKMR kekal komited untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dalam memastikan pelaksanaan mandat agensi itu dijalankan secara telus, profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat JKMR Bilangan 1 Tahun 2025 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada Selasa.
Mesyuarat itu turut disertai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.
Kata Azam, taklimat rasmi berkenaan hala tuju suruhanjaya kepada semua ahli JKMR merupakan permulaan kepada kerjasama yang lebih strategik dalam memperkukuh sistem pencegahan rasuah negara.
Sementara itu, ahli-ahli JKMR turut memberikan beberapa cadangan bagi meningkatkan kredibiliti SPRM dalam mempergiatkan usaha-usaha pencegahan rasuah, seperti cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah, perincian strategi untuk meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI), meningkatkan persepsi masyarakat terhadap SPRM melalui pelbagai platform komunikasi, serta langkah-langkah untuk menangani cabaran dalam pendakwaan kes rasuah.
Sebelum ini, dua pemimpin pembangkang merupakan antara tiga individu yang dilantik sebagai ahli baharu JKMR berkuat kuasa pada 25 April lalu.
Mereka ialah Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah; Ahli Dewan Negara, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; dan Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan.