Jurutera rugi RM169,500 diperdaya pelaburan saham tidak wujud

Iklan
Seorang jurutera lelaki warga tempatan berusia 30 tahun mengalami kerugian sebanyak RM169,500 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham yang tidak wujud.

KULAI – Seorang jurutera lelaki warga tempatan berusia 30 tahun mengalami kerugian sebanyak RM169,500 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan pada 27 Mei daripada mangsa yang mendakwa diperdaya sindiket pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan antara lapan hingga 20 peratus dalam tempoh tujuh hari.

Iklan
Iklan

“Mangsa berminat menyertai pelaburan tersebut setelah dimaklumkan bahawa keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi P3-DMA miliknya.

“Tertarik dengan janji pulangan tinggi, mangsa telah membuat 11 transaksi berjumlah RM169,500 ke dalam satu akaun bank tempatan antara 3 April hingga 22 Mei 2025,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Tambah beliau, mangsa turut membuat semakan pada aplikasi P3-DMA dan mendapati kononnya jumlah keuntungan terkumpul adalah RM422,662.34.

“Namun, apabila mangsa cuba membuat pengeluaran, transaksi gagal dan suspek masih meminta bayaran tambahan sebanyak RM80,000 untuk memproses pengeluaran tersebut,” jelasnya.

Iklan

Menyedari dirinya ditipu, mangsa yang berbangsa Cina tampil membuat laporan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dalam skim pelaburan palsu.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tidak munasabah dalam tempoh singkat.

“Orang ramai disarankan untuk membuat semakan terlebih dahulu menggunakan perkhidmatan atas talian seperti National Scam Response Centre (NSRC), CCID Infoline, Semak Mule, serta mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi jenayah komersial menerusi laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.