'Rasionalisasi subsidi RON95 dapat jimatkan RM8 bilion'

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung rasionalisasi subsidi RN95 tetap dilaksana

SHAH ALAM - Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 pada separuh kedua tahun 2025 merupakan langkah yang tepat pada masanya, selaras dengan usaha kerajaan untuk mengoptimumkan perbelanjaan fiskal negara.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah itu dijangka dapat menjimatkan sekitar RM8 bilion sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan negara dalam jangka panjang."Penjimatan signifikan ini boleh digunakan semula untuk menyalurkan lebih banyak bantuan fiskal kepada rakyat yang benar-benar memerlukan terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan (MoF) akan meneruskan proses pelaksanaan rasionalisasi RON95, namun pada ketika ini fokus tertumpu kepada perbincangan bagi memastikan golongan yang akan menerima sokongan subsidi dikenal pasti dengan tepat.

Iklan

Tambah Ahmed Razman, jika pelaksanaan penyasaran subsidi tersebut dibuat kerajaan mungkin akan merujuk data daripada sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan menggunakan MyKad atau e-dompet.

Sementara itu, Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai pula berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dijangka memberi kesan paling ketara dari segi psikologi khususnya terhadap sentimen pasaran.

Iklan

Ujar beliau, sesetengah peniaga akan mengambil peluang menaikkan harga barang dengan alasan ketidaktentuan pasaran dan jangkaan peningkatan kos pada masa hadapan sekali gus menyebabkan kenaikan harga dilakukan lebih awal.

Tambah Barjoyai, kerajaan perlu segera memberitahu keseluruhan rakyat tentang penyelarasan semula subsidi RON95 hanya akan memberi kesan kepada sepuluh peratus pengguna dan bertujuan mengelakkan penyelewengan warga asing yang masuk ke Malaysia.

"Kerajaan telah berjanji hanya menjejaskan lebih kurang 10 peratus daripada isi rumah. Jadi 90 peratus daripada isi rumah lagi akan dikecualikan,” katanya.