Jangan biarkan sempadan negara bocor

Iklan
Lebih 8,700 notis penolakan masuk dikeluarkan di KLIA dalam tempoh empat bulan - Gambar hiasan

ISU kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui pintu masuk utama negara, khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah satu ancaman serius terhadap kedaulatan negara. Keadaan itu perlu diberi perhatian segera dan berterusan oleh semua pihak berkaitan.

Taktik licik warga asing termasuk berpura-pura sebagai pelancong, berlegar-legar di ruang balai ketibaan dan menunggu arahan daripada ejen tertentu untuk masuk melalui ‘laluan selamat’ menunjukkan kewujudan jaringan sindiket yang tersusun.

Iklan
Iklan

Malah, ada yang sanggup ‘berkampung’ di lapangan terbang selama berhari-hari semata-mata untuk mengelak pemeriksaan pihak berkuasa. Lebih membimbangkan, sindiket tersebut dipercayai turut mendapat kerjasama pihak dalaman yang tidak berintegriti. Keadaan itu hanya menguatkan lagi bukti wujudnya ‘setting’ terancang di balik tirai.

Komander Pasukan Pemantau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KLIA, Ibrahim Mohd Yusof mendedahkan sebanyak 8,796 notis penolakan masuk telah dikeluarkan di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Iklan

Jelas beliau, majoritinya datang dari Bangladesh, Pakistan, India dan Indonesia. Angka itu bukan sekadar statistik, sebaliknya ia amaran jelas bahawa usaha menyelinap masuk ke negara ini makin rancak.

Justeru, pihak berkuasa tidak boleh bersikap sambil lewa. Peningkatan pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan meluaskan lagi kemudahan sistem pagar automatik termasuk penggunaan teknologi seperti MyBorderPass adalah langkah proaktif perlu diteruskan. Malah, pemantauan ke atas pegawai sendiri juga perlu diperketat bagi memastikan integriti perkhidmatan tidak dikompromi.

Iklan

Namun, teknologi sahaja tidak mencukupi. Kita perlu tindakan penguatkuasaan lebih keras terhadap ejen sindiket, individu yang menjadi ‘orang tengah’ dan majikan yang sanggup menggaji PATI demi keuntungan mudah. Tindakan undang-undang tegas harus dijalankan tanpa gentar atau pilih kasih.

Kemasukan PATI bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berisiko membawa jenayah rentas sempadan, membebankan kemudahan awam dan menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan. Malaysia tidak boleh menjadi ‘lubuk selamat’ bagi mereka yang cuba menyelinap masuk secara haram.

Justeru, pertahankan pintu sempadan negara dengan tegas dan berprinsip. Jangan sesekali biarkan PATI lolos lagi. Ini bukan sekadar soal pentadbiran tetapi pertaruhan terhadap maruah dan keselamatan negara.