Pengarah syarikat 'hilang' lebih RM1.4 juta dalam masa 30 hari

Iklan
Seorang pengarah syarikat kerugian lebih RM1.4 juta dalam masa 30 hari selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud. Gambar hiasan

IPOH - Seorang pengarah syarikat kerugian lebih RM1.4 juta dalam masa 30 hari selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa berusia 75 tahun membuat laporan polis pada 25 Mei lalu selepas menyedari telah ditipu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat luar negara pada 15 April lalu.

"Suspek menawarkan mangsa menjadi rakan kongsi kepada sebuah syarikat kononnya terlibat dalam pembelian barangan berjenama mewah dari luar negara.

Iklan

"Mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi menjual barangan jenama mewah dan dijanjikan pulangan komisen sebanyak 30 peratus bagi setiap pembelian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Noor Hisam berkata, mangsa tertarik dengan tawaran tersebut selepas menyemak latar belakang syarikat dan mendapati ia telah beroperasi sejak tahun 1989.

Iklan

Mangsa kemudian membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM22,122 melalui mesin pemindahan wang ke satu akaun syarikat.

"Akibat percaya dengan pulangan dijanjikan, mangsa melakukan transaksi pindahan wang berjumlah keseluruhan RM1,470,734 ke enam akaun bank berbeza antara 17 April hingga 16 Mei 2025, termasuk secara dalam talian dan ke kaunter bank.

"Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan dan mula menyedari dirinya telah ditipu,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Noor Hisam menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pelaburan dalam talian terutama yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.

Beliau berkata, semakan latar belakang syarikat atau individu terlibat perlu dibuat sebelum membuat sebarang pelaburan melalui sumber yang sah seperti Semak Mule PDRM, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.