KAJANG - Polis sedang menyiasat dakwaan insiden tular melibatkan seorang guru yang memarahi seorang murid sekolah rendah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh seorang guru pada Isnin, yang menafikan penglibatannya dalam video berkenaan.
"Wanita berusia 40 tahun yang juga guru di sebuah sekolah di Kajang menafikan penglibatan beliau dalam kejadian yang berlaku serta meminta siasatan lanjut dijalankan untuk mendapatkan kebenaran.
"Sehingga kini, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh pihak ibu bapa atau mangsa berhubung kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan kesalahan fitnah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
"Dalam masa yang sama, siasatan selari turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," ujarnya.
Jelas beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nur Fatihah Awang di talian 011-25703695 bagi membantu siasatan.
Pada Isnin, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata bahawa pihak kementerian akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memberi tumpuan kepada isu ini.
Fadhlina berkata, pihaknya telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan untuk memperhalusi perkara ini secara serius kerana ia melibatkan integriti dan etika profesion perguruan.
Sebelum itu, tular sebuah video yang memaparkan seorang murid sekolah rendah dimarahi beberapa guru di kantin sekolah, di mana murid berkenaan didakwa dipaksa mengaku melakukan sesuatu yang tidak dilakukannya.