PM junjung kasih atas perkenan Agong terima kehadiran pemimpin ASEAN, GCC, China

Iklan
Sultan Ibrahim, Raja Malaysia bergambar bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin dari ASEAN, Timor-Leste dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Majlis Makan Tengah Hari Diraja sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Istana Negara, pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan menerima kehadiran pemimpin ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan Timor Leste pada Majlis Santapan Diraja di Istana Negara pada Selasa.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, peranan aktif Seri Paduka Baginda dalam mengangkat martabat diplomasi negara amat bermakna dan menjadi tonggak kepada hubungan erat Malaysia dengan negara-negara luar.

Iklan
Iklan

"Kebijaksanaan dan kepimpinan Baginda Tuanku selaku Ketua Negara amat dihargai dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama serantau yang mendukung kestabilan, kemakmuran dan keharmonian antara negara-negara sahabat,” katanya.

Pemimpin ASEAN yang hadir pada majlis itu ialah Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.

Iklan

Turut hadir Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao.

Mewakili GCC antaranya ialah Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Salman bin Hamad Al Khalifa, Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, Timbalan Perdana Menteri Oman Sayyid Asaad bin Tarik al Said, Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al Saud dan Ahli Majlis Tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Ras Al Khaimah Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi.

Iklan

China pula diwakili Perdana Menteri Li Qiang.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang bertemakan 'Keterangkuman dan Kelestarian'.

Ini adalah kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. - Bernama