Anwar, Emir Qatar adakan pertemuan perkukuh hubungan dua hala

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, di luar Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China sulung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani mengadakan perbincangan mendalam dan membina bagi memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara dua negara.

Pertemuan itu berlangsung di luar Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 di sini pada Selasa, yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Iklan
Iklan

"Hubungan (Malaysia-Qatar) telah terjalin sejak lebih 50 tahun lepas, yakni satu ikatan persahabatan yang terus berkembang erat dari semasa ke semasa,” kata Anwar menerusi hantaran Facebook beliau.

Beliau berkata, perbincangan meliputi pelbagai bidang strategik termasuk pelaburan, perdagangan, kerjasama pertahanan, tenaga, industri digital dan keterhubungan, serta pendidikan.

Iklan

Anwar berkata, beliau dan Sheikh Tamim juga sepakat meneroka peluang kerjasama baharu demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara dan mempercepat beberapa memorandum persefahaman (MoU) yang masih belum dimuktamadkan.

"Malaysia komited untuk terus memperkukuh hubungan erat ini. Semoga persahabatan Malaysia dan Qatar terus utuh dan berpanjangan, insya-Allah,” kata Perdana Menteri.

Iklan

Delegasi Qatar turut disertai Menteri Perdagangan dan Industri Sheikh Faisal Thani Al-Thani, Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Sultan bin Saad Al Muraikhi serta Ketua Amiri Diwan, Abdullah bin Mohammed bin Mubarak Al-Khulaifi.

Qatar ialah negara anggota GCC yang turut merangkumi Oman, Bahrain, Kuwait, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang pertama berlangsung di Riyadh pada 2023, berperanan sebagai platform untuk meningkatkan kerjasama antara Asia Tengara dengan rantau Teluk. - Bernama