Lebih 8 juta pengguna TNB nikmati manfaat perlindungan

Iklan
Shamsul (tiga dari kiri) ketika Taklimat Media Mengenai Mekanisme Pelindungan Tambahan Buat Pengguna Domestk Elektrik, di ibu negara pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Lebih lapan juta pengguna domestik menikmati aras perlindungan 800kWj sebulan bagi bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkuat kuasa bermula penggunaan elektrik September 2026 hingga 31 Disember 2026.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, jumlah tersebut merangkumi 90 peratus pengguna, bersamaan dengan tambahan hampir satu juta pengguna domestik berbanding aras 600kWj sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peningkatan aras tersebut membolehkan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 800kWj dan ke bawah sebulan dikecualikan daripada caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus serta caj peruncitan RM10 dalam bil elektrik bulanan.

"Bagi penggunaan bulan September, jumlah pengurangan akan dikreditkan di dalam bil elektrik bulan Oktober.

Iklan

"Selepas Disember, kita akan berbincang dengan kerajaan apakah kaedah terbaik untuk kita menangani impak berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Taklimat Media Mengenai Mekanisme Pelindungan Tambahan Buat Pengguna Domestk Elektrik, di sini pada Jumaat.

Iklan

Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memperluaskan perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800 kilowatt jam (kWj) sebulan, berbanding had 600 kWj sebelum ini.

Dalam pada itu, Shamsul menjelaskan, menerusi peningkatan aras tersebut, TNB dijangka menampung caj AFA dan caj peruncitan berjumlah sekitar RM120 juta hingga RM150 juta sepanjang tempoh perlindungan tambahan tersebut berkuat kuasa.

“Langkah ini diambil bagi mengurangkan impak penggunaan elektrik terhadap kos sara hidup pengguna, selain memastikan rakyat kekal dilindungi daripada perubahan kadar AFA yang dipengaruhi ketidaktentuan pasaran kos bahan api global.

“Ketidaktentuan itu berikutan krisis di Asia Barat serta peningkatan penggunaan elektrik disebabkan oleh cuaca panas dan jerebu yang sedang melanda ketika ini,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, pengguna perlu terus mengekalkan amalan cekap tenaga, khususnya ketika negara berdepan gelombang cuaca panas dan jerebu.

“Pengguna disarankan memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi myTNB, menetapkan penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta menggunakan peralatan elektrik dengan penarafan kecekapan tenaga empat atau lima bintang.

“Selain itu turut disarankan agar pengguna beralih kepada skim Time of Use (TOU) dengan menggunakan tenaga pada waktu luar puncak, iaitu antara pukul 10 malam hingga 2 petang pada Isnin hingga Jumaat serta sepanjang hari Sabtu, Ahad dan cuti umum,” katanya.