Kenaikan harga arang batu beri kesan langsung kos jana elektrik - Menteri Ekonomi

Iklan
Harga arang batu dilaporkan meningkat secara sederhana pada Ogos.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kenaikan harga arang batu hingga mencecah AS$148 satu tan (RM604) pada 10 September 2026 memberi kesan langsung kepada kos penjanaan elektrik, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada Jumaat.

Beliau berkata, harga arang batu meningkat secara sederhana pada Ogos kepada AS$130.67 satu tan (RM533.14) daripada AS$129.63 satu tan (RM529.10) pada Julai, manakala permintaan puncak harian elektrik mencapai 21,949 megawatt pada 9 September iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata pada Ogos.

Iklan
Iklan

Akmal Nasrullah berkata, peningkatan permintaan itu bagaimanapun masih berada dalam lingkungan margin rizab yang boleh ditampung oleh sistem bekalan elektrik sedia ada.

"Kerajaan akan terus memastikan kapasiti penjanaan dan sistem bekalan elektrik mencukupi bagi menyokong aktiviti ekonomi, memenuhi keperluan rakyat dan memperkukuh daya tahan sistem tenaga negara,” katanya ketika menyampaikan taklimat mengenai krisis tenaga global yang disiarkan menerusi TV1 pada Jumaat.

Iklan

Selain arang batu, harga minyak mentah dan gas asli turut meningkat, dengan purata harga minyak mentah Brent pada Ogos naik 8.9 peratus kepada AS$90.88 setong (RM370.94) daripada AS$83.42 setong (RM340.49) pada Julai. 

Akmal Nasrullah berkata harga harian minyak mentah Brent turut direkodkan melebihi US$120 setong pada minggu ini, berbanding purata yang lebih rendah pada Ogos.

Iklan

Selain itu, harga purata gas asli cecair (LNG) meningkat 13.2 peratus daripada AS$19.32 (RM78.84) setiap juta unit terma British (MMBtu) pada Julai kepada AS$21.87 (RM89.24) pada Ogos. Sehingga pertengahan September, harga LNG menghampiri AS$30 (RM122.42) setiap MMBtu.

Akmal Nasrullah berkata, gangguan geopolitik dan laluan bekalan masih berpotensi mencetuskan lonjakan harga dalam tempoh singkat, walaupun pasaran global sedang menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

"Dalam keadaan ini, kerajaan akan terus memastikan jaminan bekalan bahan api sehingga Disember 2026 melalui tiga pendekatan, iaitu mempelbagaikan sumber import, mengoptimumkan pengeluaran bahan api domestik dan memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang," katanya.

Menurut beliau, strategi mempelbagaikan sumber bekalan terus diperkukuh dengan mendapatkan minyak mentah dan produk petroleum dari pelbagai rantau, termasuk Benua Amerika, selain meneroka sumber alternatif dari Benua Afrika.

Akmal Nasrullah berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap mana-mana satu negara atau laluan bekalan, khususnya ketika aliran perdagangan tenaga dari Asia Barat terus berdepan ketidaktentuan.

Malaysia dan Thailand turut memperkukuh kerjasama tenaga melalui pemeteraian kontrak perkongsian pengeluaran dan perjanjian jualan gas bagi Blok A-18-01 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand, sekali gus membuka ruang kepada pelaburan, mengekalkan pengeluaran dan menjamin nilai jangka panjang kepada kedua-dua negara.

Beliau berkata, pasaran antarabangsa telah melakukan penyesuaian sejak Mac 2026 melalui pelarasan inventori, pengoptimuman sumber bekalan dan pengalihan laluan perdagangan bagi mengurangkan kesan gangguan terhadap bahan mentah serta input pengeluaran.

"Keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk serta kelangsungan aktiviti ekonomi secara berlebihan," katanya.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, jumlah pekerja yang kehilangan pekerjaan meningkat kepada 68,177 bagi tempoh Januari hingga 16 Sept 2026, iaitu pertambahan 15,196 orang berbanding tempoh sama pada 2025, melibatkan sektor pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.

Beliau berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah membantu penempatan semula 143,653 pekerja bagi tempoh Januari hingga 11 Sept melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan portal MYFutureJobs. - Bernama