Tiga lelaki ditahan miliki peralatan polis, senjata api tiruan

Iklan
Hussein (dua dari kanan) menunjukkan senjata api tiruan yang dirampas daripada tiga individu yang didakwa digunakan untuk tujuan penggambaran. - FOTO: SINAR HARIAN / HISYAMUDDIN AYUB.

SEPANG – Seorang bekas polis berpangkat Sarjan Mejar bersama dua individu lain ditahan kerana memiliki peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk senjata api tiruan semasa satu pemeriksaan di Lakefront Residence, Cyberjaya pada Ahad.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, tiga lelaki tempatan terbabit baharu sahaja selesai menjalani penggambaran dengan membuat lakonan sekatan jalan raya.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan pihak polis mendapati mereka bukan anggota pasukan keselamatan, sebaliknya petugas penggambaran bebas yang membuat rakaman aktiviti polis tanpa sebarang permohonan kepada pihak berkuasa.

"Mereka baru selesai menjalani penggambaran sekatan jalan raya dan sedang memasukkan barangan ke dalam sebuah kereta jenis Proton Waja.

Iklan

"Semasa pemeriksaan dijalankan, pihak polis telah menemukan pelbagai peralatan PDRM dan beberapa jenis senjata api tiruan.

"Antara barangan yang dirampas termasuk kon trafik, senjata api tiruan seperti raifal serang hendap, mesingan, pistol, lampu suar, gari serta vest polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga lelaki berusia antara 29 hingga 64 tahun itu tidak membuat sebarang permohonan bertulis kepada Bukit Aman untuk menjalani penggambaran yang melibatkan pemakaian pakaian seragam polis.

Tambahnya, barangan yang dirampas daripada suspek bukanlah aset milik PDRM, sebaliknya dipercayai dibeli secara dalam talian dan ketiga-tiga suspek telah direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Hussein berkata, semakan turut mendapati lelaki berusia 64 tahun itu merupakan bekas anggota polis berpangkat Sarjan Mejar yang telah bersara empat tahun lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Tegasnya, pihak polis memandang serius perkara seumpama ini kerana ia boleh menjejaskan imej dan integriti PDRM.

Justeru, beliau menegaskan bahawa mana-mana pihak yang terlibat dalam penggambaran membabitkan elemen kepolisan perlu mendapatkan kelulusan rasmi daripada PDRM terlebih dahulu.