IPOH - Biarpun jumlah dana diperlukan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu untuk menebus kembali tanah bernilai RM1.8 juta mencukupi, Masjid Negeri Perak tetap menyerahkan kutipan dibuat oleh seluruh masjid di negeri ini berjumlah RM327,830.
Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh berkata, kutipan yang diterima dari masjid-masjid di negeri ini sudahpun bermula sebaik sahaja surat pekeliling mengenai sumbangan kepada Masjid Ar-Ridzuan diedarkan.
Menurutnya, dalam tempoh empat hari bermula dari 6 Mei, kutipan tersebut telah melebihi RM300,000 dengan jumlah paling banyak diterima pada hari pertama dan kedua menerusi Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan yang disediakan.
"Pada hari pertama dan hari kedua sebelum hari Jumaat, kita terima lebih RM104,000 pada 6 Mei. Pada 7 Mei pula, sebanyak RM129,000 diterima dan selepas itu masuk sikit-sikit selepas dimaklumkan sumbangan diperlukan sudah mencukupi.
"Jadi hari ini (Selasa), mewakili seluruh masjid di Perak, Masjid Negeri telah menyerahkan sejumlah RM327,830.02 kepada pihak pengurusan Masjid Ar-Ridzuan sebagai tanda solidariti kita," katanya kepada Sinar Harian.
Abd Farid berkata, jumlah yang berjaya dikumpulkan itu amat membanggakan hasil daripada keprihatinan dan kemurahan hati masyarakat serta ahli kariah masjid-masjid di Perak.
Katanya, majlis penyerahan sumbangan wang derma sempena kutipan 'Selamatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu' itu telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim di masjid berkenaan.
Sumbangan tersebut diterima oleh Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Yusof Majid.
Dalam pada itu Abd Farid mewakili seluruh masjid di Perak merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bersama-sama menyumbang dan membantu menjayakan kempen berkenaan.
Pada 5 Mei lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, mengumumkan bahawa semua masjid di Perak akan menyumbang melalui kutipan mingguan Jumaat mulai esok kepada Masjid Ar-Ridzuan bagi membantu menebus kembali tanah yang telah terjual.
Susulan itu, JAIPk telah mengedarkan surat kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan Surau Diri Jumaat (SDJ) di Perak bertajuk Selamatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai bagi tujuan sumbangan tersebut.
Menerusi surat tersebut, JAIPk menyarankan supaya masjid-masjid dan SDJ di negeri ini menyediakan tabung khas untuk kutipan pada 9 dan 16 Mei 2025.
Pihak masjid dan surau terbabit akan menyalurkan kutipan itu kepada akaun yang telah disediakan oleh JAIPk atas nama Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan dengan nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad 08013010091983.
Sebelum ini, media melaporkan tanah wakaf masjid berkenaan telah berpindah milik kepada seorang individu bukan Islam tanpa pengetahuan pihak pengurusan masjid.
Pemilik tanah memberikan dua pilihan kepada pihak masjid, iaitu membeli semula tanah tersebut atau merobohkan semua struktur sedia ada di atasnya.