KOTA KINABALU - Tidak sanggup mendengar rayuan adik yang mendakwa dipukul selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja, seorang wanita nekad membuat laporan polis dan mendapatkan bantuan daripada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bagi misi menyelamat.
Menurut wanita dikenali sebagai Hao, 28, dia terkejut apabila mengetahui adik lelakinya yang sebelum ini bekerja di Semenanjung Malaysia sebenarnya berada di Kemboja dan menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di negara tersebut.
"Kami hanya mengetahui perkara itu selepas bekas majikan adik menghubungi kami dan memaklumkan dirinya dihubungi melalui aplikasi Telegram bahawa adik bongsu kami kini berada di Kemboja.
"Bekas majikan juga telah meminta adik saya membuat satu video sebagai bukti dan berkongsi lokasi keberadaannya ketika ini," katanya pada sidang akhbar di pejabat MHO, di sini, pada Selasa.
Katanya lagi, sebaik mengetahui perkara tersebut, dia segera pulang ke Sandakan dan memeriksa tablet milik adiknya yang ditinggalkan di rumah bagi mencari maklumat lanjut.
"Rupanya, adik saya ada menghantar mesej kecemasan beberapa minggu lalu. Selepas itu, kami cuba berhubung melalui Telegram dan dia memberitahu pernah cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya dan akhirnya dipukul.
"Tetapi dia tidak maklumkan dengan terperinci kerana tidak mahu kami risau. Cuma ketika ini, dia mahu pulang semula ke Malaysia," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MHO Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh berkata, setakat ini keluarga mangsa belum dimaklumkan tentang sebarang tuntutan wang tebusan.
"Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 23 tahun yang telah ditipu oleh sindiket penipuan pekerjaan dan sekarang dipercayai berada di salah satu kawasan di Kemboja berdasarkan gambar yang dihantarnya.
"Dalam kes ini, mangsa tidak memberitahu dia ke negara tersebut pada Februari lalu, sebaliknya hanya memaklumkan pergi ke ke Kuala Lumpur untuk bekerja, tanpa mengetahui secara terperinci mengenai pekerjaan yang ditawarkan.
"Mangsa berhubung dengan keluarga melalui Telegram dan minta bantuan untuk diselamatkan. Jadi, kita telah mengambil kes ini dan proses untuk misi penyelamat akan dilaksanakan dengan segera," katanya.
Menurut Jerry, pihaknya percaya mangsa mungkin terperdaya bersama beberapa individu lain dengan tawaran kerja di luar negara.
"Mereka mungkin diminta melakukan kerja 'scammer' dan jika gagal, mereka akan dipukul. Malah, ada yang pernah cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya dan menyebabkan mereka dibelasah," katanya.
Sehubungan itu, MHO Sabah akan bekerjasama dengan MHO Pusat untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai mangsa serta berusaha membawa pulang mangsa daripada cengkaman sindiket.