KUALA LUMPUR – Keputusan taksiran ganti rugi dalam kes saman fitnah RM1 juta oleh Datin Seri Rosmah Mansor terhadap seorang pemilik akaun TikTok, yang mendakwa isteri bekas Perdana Menteri itu mengamalkan ilmu hitam, ditetapkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 8 Julai depan.
Peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, yang mewakili Rosmah, 74, selaku plaintif, berkata demikian selepas prosiding pendengaran bagi taksiran ganti rugi yang dijalankan secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.
Abu Bakar berkata, mahkamah telah membangkitkan persoalan undang-undang dalam kes yang dihadapi Rosmah terhadap defendan, Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35.
"Seorang lagi peguam plaintif, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, memohon satu tarikh singkat untuk memfailkan hujahan ringkas bagi menjawab persoalan undang-undang berkenaan.
"Mahkamah kemudiannya menetapkan bahawa hujahan perlu difailkan dalam tempoh dua minggu dan keputusan taksiran ganti rugi ditetapkan pada 8 Julai depan,” katanya ketika dihubungi.
Pada 28 Mei 2024, Rosmah berjaya memperoleh penghakiman ingkar terhadap Ku Muhammad Hilmie dalam kes saman fitnah berkenaan.
Hakim Ahmad Shahrir membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Rosmah berikutan kegagalan Ku Muhammad Hilmie untuk memasukkan memorandum kehadiran bagi menjawab saman pada tarikh yang ditetapkan.
Bagaimanapun, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan akan ditaksir kemudian oleh mahkamah.
Pada 28 Januari, Sinar Harian melaporkan bahawa Rosmah menuntut ganti rugi RM1 juta daripada Ku Muhammad Hilmie kerana mendakwa plaintif mengamalkan ilmu hitam.
Menerusi afidavit sokongan, Rosmah mengemukakan saman menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada 19 September 2023.
Beliau menamakan lelaki yang mempunyai 1,584 pengikut itu sebagai defendan kerana didakwa memuat naik satu rakaman video di akaun TikTok menggunakan nama 'CEO Heelmie Fighter' yang mengandungi kenyataan tidak benar pada 22 Mac tahun sama.