KOTA BHARU – Seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baharu sahaja menerima tawaran menyambung pengajian ke program matrikulasi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan merogol rakan sekolahnya dalam sebuah stor pada April tahun lalu.
Remaja lelaki yang berusia 18 tahun itu didakwa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan remaja terbabit dituduh melakukan merogol mangsa yang berusia 15 tahun 11 bulan di sebuah stor sekolah di Kuala Krai sekitar jam 3 petang, April 2024.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, kerana tertuduh masih di bawah umur ketika kejadian, prosiding dan hukuman bakal dipertimbangkan mengikut Seksyen 91 Akta Kanak-Kanak 2001.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Norfarhan Liyana Wan Baharuddin.
Dalam prosiding itu, peguam bela memohon agar jaminan tidak melebihi RM3,000 dikenakan, mengambil kira latar belakang keluarga tertuduh yang terdiri daripada ibu bapa bekerja sebagai buruh kilang dan ladang.
Selainnya, faktor usia remaja berkenaan dan tawaran menyambung pengajian ke matrikulasi yang perlu mendaftar pada 23 Jun ini.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat agar tidak mengganggu mangsa serta saksi kes.
Kes akan disebut semula pada 26 Jun ini.
Difahamkan gadis berkenaan baru sahaja melahirkan bayi di sebuah hospital Januari lalu.