KLANG – Lima lelaki diberkas selepas memecah masuk dan mencuri kabel di sebuah kilang di kawasan perindustrian Pulau Indah, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, laporan kejadian itu diterima pihaknya daripada pemilik kilang berusia 47 tahun yang memaklumkan berlaku kejadian pencerobohan sekumpulan lelaki di premis terbabit kira-kira jam 6.55 petang.
Menurutnya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) telah dikejarkan ke lokasi sebelum menahan lima suspek, termasuk seorang warga asing.
"Turut ditemui pada suspek ialah beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pecah masuk. Polis juga telah merampas sebuah kenderaan jenis pikap bersama kabel-kabel yang disyaki dicuri dari kilang itu.
"Modus operandi suspek adalah dengan memotong mangga pintu pagar sebelum masuk ke kilang berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
Tambahnya, semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau.
Ujarnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
"Sebarang maklumat berkaitan jenayah, dadah dan sebagainya, sila hubungi dan salurkan di mana-mana balai polis yang berhampiran.
"Pihak polis akan mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.