MERAK JALANAN tak tahu sama ada hendak ketawa atau menangis bila baca tajuk berita ini: 'Rakyat Malaysia dan Indonesia dan Malaysia dinobatkan sebagai paling malas untuk berjalan kaki di dunia'.
Kajian ini bukan gurauan tetapi kajian global yang dilakukan oleh Universiti Stanford yang menyenaraikan negara-negara yang kurang aktiviti berjalan kaki.
Cuma yang membuatkan Merak Jalanan lebih tersenyum ialah apabila Indonesia berada tempat pertama manakala, Malaysia berada di kedudukan ketiga. Nasib baik!
Kajian ini melibatkan 717,000 individu dari 111 negara di seluruh dunia dan mengambil kira jumlah purata langkah harian setiap individu.
Rakyat Indonesia hanya mencatat 3,531 langkah sehari, jauh lebih rendah daripada purata global, iaitu sekitar 5,000 langkah.
Malaysia pula hanya sedikit"lebih baik” dengan 3,963 langkah sehari, sekaligus meletakkan kita dalam tiga teratas senarai ini.
Merak Jalanan tak hairan kalau orang Malaysia dikatakan paling malas berjalanan. Memang betul. Di pejabat, kalau boleh nak letak kereta betul-betul di pintu masuk. Kalau jauh sikit dah merungut.
Menurut kajian itu lagi, terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kenapa rakyat di negara-negara terbabit malas berjalan.
Antaranya adalah laluan pejalan kaki sering kali digunakan untuk parkir motor, dijadikan lokasi berniaga, atau bahkan tidak wujud langsung di kawasan tertentu.
Selain itu, di Indonesia dan Malaysia, penggunaan motosikal dan kereta adalah lebih utama.
Tapi tak boleh juga nak salahkan rakyat kita, faktor cuaca panas terik pun turut memainkan peranan. Berkicap dibuatnya.
Kalau nanti ada jumpa dengan PMX, bisik-bisikkan kat beliau supaya jadikan Malaysia negara yang walking-friendly.