HANOI - Presiden Perancis, Emmanuel Macron menepis dakwaan isterinya, Brigitte menolak mukanya ketika pasangan itu turun dari pesawat di Vietnam semasa pusingan pertama lawatan ke Asia Tenggara.
"Kami hanya bergurau. Rakaman memaparkan saya mengusik isteri saya telah disalahertikan banyak pihak yang kemudiannya membuat pelbagai teori sendiri," ujarnya kepada para wartawan di Hanoi pada Isnin.
Macron, 47, turut mengakui kesahihan klip yang tersebar meluas itu yang telah dijadikan 'alat propaganda'.
Rakaman pendek itu menunjukkan insiden Wanita Pertama tersebut 'mengasari' Macron hingga mengundang pelbagai reaksi warganet.
Sementara itu, Istana Elysee menjelaskan ia adalah 'gurauan kasar', sekali gus mengetepikan dakwaan tentang hubungan dingin Macron dan Brigitte, 72.
"Tiada keperluan untuk memberi penjelasan lebih mendalam kepada pentaasub teori konspirasi yang gemarkan kisah kontroversi seperti itu," ujar sumber kediaman rasmi Presiden tersebut lagi sambil menambah insiden itu sengaja ditokok tambah puak pro-Rusia.
Kejadian di Hanoi itu berlaku selepas Macron menjadi mangsa penyebaran maklumat salah di platform media sosial.
Pada awal bulan lalu, Istana Elysee mengecam sekeras-kerasnya berita palsu yang mendakwa Presiden tersebut menggunakan kokain ketika menaiki kereta api ke Kiev bersama Canselor Jerman, Friedrich Merz dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer. - Agensi
INFO
> Brigitte Macron merupakan bekas guru sekolah tinggi kepada Presiden Perancis itu. Mereka bertemu ketika Macron menuntut di sekolah Katolik, Le Providence di utara Paris. Brigitte merupakan guru drama dan berumur 39 tahun ketika itu manakala Macron berumur 15 tahun.
> Mereka berkahwin pada 2007, setahun selepas Brigitte bercerai dengan bekas suaminya. Macron dilantik sebagai Presiden Perancis pada 2017.
> Jarak usia tidak menghalang mereka membina mahligai bahagia. Brigitte 25 tahun lebih tua daripada Macron.