SHAH ALAM - Kerajaan sepatutnya menangguhkan dahulu pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dan menumpukan usaha menyelesaikan isu kenaikan tarif elektrik dan air yang membebankan rakyat ketika ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, langkah kerajaan untuk meneruskan dasar itu dilihat hanya akan menambah derita rakyat sudah terhuyung-hayang menghadapi kos sara hidup.
"Kerajaan nampaknya tidak sabar-sabar mahu mencabut satu lagi saki-baki bantuan yang tinggal untuk orang ramai bertahan.
"Sehingga ke hari ini kerajaan sendiri pun masih kabur siapa sebenarnya golongan T20 dikatakan tidak layak menerima subsidi," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Terdahulu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025.
Amir Hamzah berkata, Kementerian Kewangan (MoF) akan meneruskan proses pelaksanaan rasionalisasi RON95, namun ketika ini fokus tertumpu kepada perbincangan bagi memastikan golongan akan menerima sokongan subsidi dikenal pasti dengan tepat.
Menurut Ahmad Fadhli, rakyat selama ini memahami bahawa golongan T20 ditakrifkan berdasarkan pengkelasan pendapatan isi rumah seperti mana digunakan dalam laporan-laporan rasmi kerajaan.
Bagaimanapun, kata beliau, jawapan menteri-menteri dalam Dewan Rakyat kebelakangan ini hanya menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.
"Akhirnya, siapa sebenarnya T20? Adakah satu keluarga empat orang di bandar dengan gajinya RM11,000 tapi menyewa rumah pun dianggap T20?" soal beliau.
Ahmad Fadhli turut melahirkan kebimbangan kerana belum ada satu pun mekanisme diperincikan bagi memastikan subsidi sampai kepada golongan benar-benar layak.
"Jika definisi pun tidak jelas, bagaimana mahu melaksanakannya dengan adil dan cekap?” ujar beliau lagi.
Menurut Ahmad Fadhli, pihaknya bukan anti-reformasi, tetapi menolak reformasi semberono menjadikan rakyat sebagai mangsa uji kaji dasar ekonomi.
"Reformasi itu bukan untuk rakyat jika ia dibina atas kekaburan, ketidakpastian dan beban berganda kepada mereka sudah lama tertekan," katanya.
Justeru, beliau menasihatkan kerajaan supaya menangguhkan dahulu rasionalisasi subsidi RON95 dan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu tarif.
"Kemukakan dulu satu definisi munasabah tentang T20. Buktikan dulu bahawa mekanisme subsidi bersasar itu benar-benar bersasar, bukan sekadar sasaran politik.
"Jika tidak, jangan salahkan rakyat jika mereka anggap kerajaan sekarang bukan lagi kerajaan peduli, tapi kerajaan perlahan-lahan mencabut nafas rakyat," tegas beliau.