Sindiket seludup arak, mesin basuh dan beras tumpas, rampasan cecah RM1.87 juta

Iklan
Raizam (tiga, kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas susulan serbuan berasingan di Zon Bebas Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

KLANG – Taktik licik sindiket penyeludupan yang menggunakan ikrar palsu seperti perabot, sandal dan produk makanan terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas pelbagai barangan bernilai hampir RM1.87 juta dalam siri operasi berasingan di Zon Bebas Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Rampasan tersebut membabitkan 51,138 tin minuman keras bernilai lebih RM978,000 yang diikrarkan sebagai perabot manakala cubaan menyeludup mesin basuh, beras dan tembakau kunyah turut berjaya dipatahkan dalam operasi penguatkuasaan sepanjang April dan Mei lalu.

Iklan
Iklan

Penolong Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapha berkata, semua barangan yang diseludup masuk menggunakan kontena dari negara jiran dan rantau Asia itu dikesan tidak mempunyai sebarang permit import yang sah.

Taktik licik sindiket penyeludupan menggunakan ikrar palsu seperti perabot, sandal dan produk makanan terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas pelbagai barangan bernilai hampir RM1.87 juta dalam beberapa serbuan berasingan di Zon Bebas Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Menurut beliau, rampasan minuman keras dibuat hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena pada 22 April lalu.

Iklan

"Pemeriksaan mendapati kontena tersebut membawa 26,238 liter minuman keras yang disorok dan diikrarkan sebagai perabot.

"Dalam kes berasingan, JKDM turut menemui 21 unit mesin basuh dan pengering pakaian yang disorokkan bersama muatan sandal dalam sebuah kontena yang tiba pada 25 April, dengan anggaran nilai RM521,400,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam, Pulau Indah pada Isnin.

Iklan

Raizam berkata, satu lagi rampasan membabitkan 12,800 kilogram beras bernilai RM304,640 pada 11 April lalu, apabila pemeriksaan mendapati dagangan itu diikrarkan sebagai produk makanan bagi mengelakkan keperluan permit dari Kawal Selia Padi dan Beras.

"Turut dirampas ialah 295 kilogram tembakau kunyah bernilai RM65,785 hasil pemeriksaan terhadap dua kontena yang tiba pada 19 Februari lalu.

"Barangan tersebut turut diikrarkan sebagai rempah dan tiada permit import yang sah,” jelasnya.

Kesemua kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000, atau kedua-duanya sekali.

"JKDM akan terus memperketat kawalan dan pemeriksaan bagi mengekang sebarang kegiatan penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara,” tegas beliau.