Malaysia-Indonesia terajui Majlis Halal ASEAN

Iklan
Ahmad Zahid (kiri) mengadakan pertemuan strategik bersama Bapak Haikal di Kuala Lumpur bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Isnin.

SHAH ALAM – Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk bersama-sama menerajui penubuhan Majlis Halal ASEAN pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, majlis itu akan menjadi platform strategik untuk penyelarasan dasar, standard dan piawaian halal negara-negara ASEAN secara sistematik dan inklusif.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH), inisiatif tersebut akan memastikan ASEAN menjadi peneraju dalam ekosistem halal global dengan piawaian yang diiktiraf dunia.

"Kedua-dua negara menzahirkan komitmen kukuh untuk melonjakkan kerjasama halal Malaysia-Indonesia ke tahap lebih tinggi dengan tumpuan memperkukuh kedudukan produk halal kedua-dua negara di pasaran serantau dan global.

Iklan

"Kedua-dua negara juga bersetuju untuk membuka laluan kemasukan produk halal dan memperluas pengiktirafan bersama sijil halal," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Zahid mengadakan pertemuan strategik bersama Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, Bapak Haikal Hassan Baras di Kuala Lumpur bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Iklan

Pertemuan tersebut merupakan kesinambungan daripada lawatan rasmi Ahmad Zahid ke Indonesia baru-baru ini, yang menjadi titik tolak kepada kerjasama baharu yang lebih mendalam antara Malaysia dan Indonesia dalam menerajui pembangunan industri halal serantau.

Tambah beliau, langkah berkenaan akan mewujudkan aliran perdagangan halal yang lebih lancar dan mesra industri serta menyokong peningkatan perdagangan intra-ASEAN.

"Ia dijangka memberi impak positif terhadap permintaan pasaran halal di ASEAN yang mewakili lebih 700 juta penduduk. Malaysia akan terus mempergiatkan usaha kerjasama dalam aspek pensijilan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan tenaga kerja halal.

"Malaysia turut menyokong penuh program pertukaran kepakaran, latihan bersama dan penyelidikan kolaboratif dalam memperkukuh rantaian nilai halal ASEAN," katanya.

Ahmad Zahid berkata, dengan nilai pasaran halal global yang dijangka mencecah USD5 trilion menjelang 2030, ASEAN mesti tampil sebagai peneraju ekosistem halal serantau yang saling melengkapi dan berdaya saing.

"Melalui penubuhan Majlis Halal ASEAN, kita akan memastikan ASEAN bukan sahaja menjadi hab halal global yang berdaya saing, inklusif dan mampan, tetapi juga menjadi model dalam memimpin industri halal dunia dengan integriti dan piawaian yang tinggi.

"Kerjasama ini juga akan menjadi testimoni kejayaan 'Halal Diplomacy' yang diperkenalkan oleh Malaysia untuk memperkukuh jenama halal negara di peringkat global," katanya.