Keluarga tiga beranak maut dirempuh tuntut keadilan

Iklan
Keluarga mangsa nahas babitkan tiga beranak yang maut dirempuh kereta mahu keadilan sewajarnya.

KUALA LANGAT -"Dia dah langgar, sampai tiga nyawa melayang, tapi sampai sekarang satu permohonan maaf pun tak ada."

Demikian luahan Nor Syafiqa Asmadi, 23, kakak ketiga kepada Allahyarhamah Norsyahadah yang maut bersama suami dan anak perempuannya dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Klang–Banting–Port Dickson, Sabtu lalu.

Iklan
Iklan
Nor Syafiqa

Menurutnya, mereka sekeluarga masih terkilan kerana tiada sebarang permohonan maaf daripada pihak terlibat dalam insiden yang meragut nyawa tiga ahli keluarga tercinta.

"Pemandu kereta yang terlibat langsung tidak datang bersemuka selepas kejadian menyayat hati itu. Semasa di balai polis pun, bukan sahaja tidak memandang kami, malah untuk datang minta maaf pun tidak.

Iklan

"Kami kehilangan tiga orang tersayang serentak. Sekurang-kurangnya datanglah minta maaf kepada kami,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Taman Sijangkang Jaya pada Isnin.

Nor Syafiqa berkata, dia dan adik-beradik lain amat rapat dengan Allahyarhamah yang disifatkan sebagai seorang yang penyayang dan manja.

Iklan

"Dua hari sebelum kejadian pun, saya asyik teringatkan arwah. Dia memang jenis manja dan mudah rapat dengan sesiapa sahaja.

"Kami berharap siasatan dijalankan secara telus dan pemandu terbabit dikenakan tindakan sewajarnya. Kami sekeluarga juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung kes ini,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang Sabtu lalu, Norsyahadah, 20, suaminya Muhammad Azarith Farhan Zulkifli, dan anak mereka Nur Halwatuzahra yang berusia satu tahun, maut selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.

Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat mereka dibawa ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat.

Jenazah tiga beranak tersebut selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batu 9, Kampung Medan, Sijangkang.