ALOR SETAR - Kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) berani mengambil tindakan yang tidak popular dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjamin termasuk langkah tegas mengharamkan penjualan vape di empat negeri PN.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, Kelantan, Terengganu dan Perlis telah pun mengambil langkah mengharamkan penjualan vape dengan terbaharu Kedah turut menyasarkan sifar vape menjelang tahun 2026.
Justeru, DUPP menggesa kerajaan Persekutuan memperhalusi semula keputusan mengeluarkan nikotin daripada senarai racun di bawah Akta Racun 1952.
"Empat negeri bawah pentadbiran PN bertindak berani mengharamkan penjualan vape.
"Tindakan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk membentuk masyarakat yang sihat dan sejahtera, tanpa tunduk kepada desakan kepentingan jangka pendek,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ahmad berkata, keputusan mengeluarkan nikotin daripada senarai racun menjadikan produk vape lebih mudah diakses, selain mengurangkan kuasa kawalan undang-undang terhadap penjualannya.
Di bawah Akta Racun 1952, bahan seperti nikotin dikawal rapi, namun Kerajaan Persekutuan telah mengeluarkan nikotin dalam bentuk cecair atau gel untuk vape dan e-rokok daripada senarai racun pada tahun 2023, menjadikan ia tidak lagi tertakluk bawah akta tersebut.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menyeru agar Dasar Generasi Penamat (GEG) yang dimansuhkan sebelum ini dikembalikan semula sebagai usaha menyekat pengaruh rokok dan vape kalangan generasi muda.
"Kerajaan Persekutuan perlu melihat langkah kerajaan negeri PN sebagai signal untuk mengembalikan semula GEG selepas ia dimansuhkan,” ujarnya.
GEG dicadangkan oleh mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin namun dimansuhkan selepas berlaku perubahan kepimpinan kerajaan.
Melalui dasar ini, individu yang dilahirkan pada tahun 2007 dan ke atas (generasi muda) dilarang sama sekali membeli, memiliki atau menggunakan produk merokok dan vape sepanjang hayat mereka.
Ahmad tegaskan, kerajaan yang bertanggungjawab ialah kerajaan yang memimpin rakyat berpaksikan kebenaran, bukan membeli sokongan demi kuasa dan kepentingan tertentu.
Dalam pada itu, DUPP menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap keputusan Kedah dan Perlis yang tidak lagi memperbaharui lesen perniagaan vape, selaras dengan langkah diambil Terengganu dan Kelantan.
"Kelantan telah menghentikan pengeluaran lesen perniagaan vape sejak tahun 2015, Terengganu mengumumkan langkah serupa awal tahun ini.
"Tindakan tegas ini memberi mesej jelas bahawa kerajaan seharusnya memimpin rakyat ke arah kebaikan, bukan membiarkan mereka terdedah kepada risiko yang merosakkan masa depan,” ujarnya.
Ahmad turut mengingatkan bahana vape bukan lagi perkara kecil, ia bukan sahaja dikaitkan dengan kesan buruk terhadap kesihatan, malah menjadi pintu kepada penagihan dadah sintetik.
"Jadikan langkah yang diambil kerajaan negeri PN sebagai teladan yang wajar diikuti kerajaan negeri lain.
"Langkah pengharaman ini memberi mesej jelas bahawa rakyat, khususnya anak muda perlu dilindungi daripada risiko yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya lagi.