Penyu agar betina lebih 100kg ditemui mati di Pantai Teluk Batu

Iklan
Seekor penyu agar betina dewasa dijumpai terdampar di dua lokasi pantai di Kemaman pada Ahad.

KEMAMAN - Seekor penyu agar betina dianggarkan seberat antara 100 hingga 130 kilogram ditemui mati dalam keadaan terapung di Pantai Teluk Batu, Kijal, di sini kira-kira jam 2.30 petang pada Ahad.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, bangkai penyu dewasa yang dianggarkan berukuran 91 sentimeter panjang dan 76 sentimeter lebar itu dikesan oleh seorang pemajak pantai ketika memantau kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kami menerima laporan daripada pemajak Pantai Teluk Batu pada jam 8 malam. Malangnya, bangkai penyu itu tidak sempat ditarik ke daratan kerana saiznya besar dan keadaan ombak ketika itu agak kuat,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, bangkai penyu tersebut mungkin merupakan penyu yang sama yang ditemui mati di Pantai Awana Kijal pada hari yang sama.

Iklan

"Pemajak menjumpai penyu yang telah mati kira-kira jam 2.30 petang semalam dan ketika itu penyu tersebut masih berada di dalam air.

"Mungkin bangkai penyu itu kemudiannya dihanyutkan ke Pantai Penunjuk memandangkan jarak antara pantai-pantai berkenaan berdekatan. Saya telah meminta pegawai perikanan daerah membuat siasatan lanjut,” katanya lagi.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, penyu itu dipercayai mati dalam tempoh satu atau dua hari dan terdapat kesan kecederaan di bahagian leher yang mungkin berpunca daripada jerutan pukat nelayan.

Katanya, orang ramai yang menemui penyu mati di kawasan pantai diminta segera melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya tindakan lanjut dapat diambil.

Sementara itu, seorang peniaga kek, Wan Shafirool Wan Salahuddin, 32, berkata, dia menemui bangkai reptilia itu kira-kira jam 4.30 petang ketika mahu memulakan perniagaan di Pantai Penunjuk Kijal pada Ahad.

"Saya pernah melihat penyu hidup ketika memancing, dan penyu yang masih hidup tidak akan terapung begitu lama.

"Mata penyu ini pun sudah tersembul dan terdapat kesan kecederaan di kaki haiwan itu,” katanya.