Tiada pembabitan ahli politik dalam kes penculikan Pamela Ling – Polis

Iklan
Rusdi

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada pembabitan ahli politik dalam kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang sejak 9 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, perkara itu berdasarkan siasatan yang sedang dijalankan pihak polis ketika ini.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, kita tidak nampak sebarang elemen yang menjurus ke arah itu (pembabitan ahli politik) dan berdasarkan keterangan yang telah diambil, tiada yang menunjukkan ke arah tersebut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Media di Bukit Aman pada Isnin.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Iklan

Menurut Rusdi, polis telah merakam keterangan daripada 47 individu termasuk tiga anak mangsa serta beberapa kenalan rapat bagi membantu siasatan kehilangan wanita berusia 42 tahun itu.

"Kita telah mengambil keterangan tiga anaknya dan rakan wanita berkenaan di Ibu Pejabat Polis Woodlands, Singapura.

Iklan

"Kita dapati kali terakhir anak mangsa berhubung dengan Pamela adalah sebelum kejadian kehilangan. Selepas itu, tiada lagi komunikasi,” katanya.

Mengulas mengenai sebab permohonan reman terhadap suami Pamela ditolak sebelum ini, beliau menjelaskan bahawa mahkamah berpendapat tiada keperluan untuk menahan reman kerana individu terbabit boleh dipanggil pada bila-bila masa dan peguam juga telah memberi jaminan kerjasama.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusdi memaklumkan bahawa setakat ini masih tiada petunjuk baharu mengenai keberadaan Pamela dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada wanita itu masih berada dalam negara atau sebaliknya.

"Kita sudah buat semakan dan sehingga kini masih tiada petunjuk. Tidak nampak sebarang jejak ke luar negara,” ujarnya.

Pada 9 April lalu, Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dengan menaiki perkhidmatan e-hailing.

Laporan polis berhubung kehilangannya diterima pada jam 3.02 petang hari sama.

Siasatan mendapati lima individu yang memakai vest dan pakaian menyerupai seragam polis dipercayai telah memperdaya mangsa sebelum melarikannya menggunakan tiga buah kenderaan, termasuk sebuah pacuan empat roda.

Setakat ini, kesemua suspek masih belum ditahan dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.