Gangguan air bukan sabotaj kongres PKR – Exco Johor

Iklan
Mohamad Fazli

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor menyerahkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat pengendali air susulan gangguan bekalan air yang berlaku di sekitar Johor Bahru, minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, siasatan awal mendapati beberapa kelompangan dikenal pasti.

Iklan
Iklan

"Kes ini telah pun dilaporkan kepada SPAN dan Petra. SPAN juga telah turun padang untuk memantau situasi dan kita akan tunggu tindakan lanjut daripada mereka.

"Saya sendiri akan berhubung terus dengan SPAN dan pihak kementerian untuk melihat bentuk tindakan yang boleh diambil sama ada dari segi kelemahan SOP atau terhadap pihak operator yang terlibat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut Mohamad Fazli berkata, kerosakan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor itu merupakan satu insiden yang jarang berlaku sehingga menjejaskan 155,074 akaun pengguna air di Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

Iklan

"Wujud kesilapan dalam komunikasi apabila masalah kerosakan pam telah diketahui lebih awal, namun kegagalan syarikat pengendali air mengeluarkan notis pemakluman gangguan bekalan kepada pengguna menyebabkan berlakunya gangguan air lebih lama.

"Jika dimaklumkan awal, pengguna dapat membuat persediaan termasuklah menyimpan bekalan air dan bukan digunakan pada kadar biasa sehingga berlaku gangguan bekalan meluas," ujarnya.

Beliau turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan masalahnya gangguan bekalan air di Johor Bahru beberapa hari lalu bertujuan mensabotaj Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Sabotaj? Tiada kerja, tak adalah kita rajin nak sabotaj (Kongres Nasional PKR)," katanya ringkas.

Sehubungan itu, Mohamad Fazli menegaskan, pihaknya akan meneliti dan menambah baik sebarang kekurangan dalam prosedur operasi standard (SOP) berkaitan gangguan bekalan air di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mengambil langkah segera dengan membuka paip di kawasan berhampiran untuk menyelamatkan lebih 11,000 akaun pengguna pada hari pertama kejadian.

"Antara penambahbaikan yang dikenal pasti termasuk menambah bilangan lori tangki dan lokasi pengisian air yang masih tidak mencukupi ketika berlaku gangguan besar,” katanya.