KOTA KINABALU – Di sebalik status Malaysia sebagai antara lima negara pengisar koko terbesar dunia dengan jumlah pemprosesan mencecah 370,000 tan biji koko setahun, industri ini masih berdepan ketidakseimbangan ketara apabila hampir keseluruhan bahan mentahnya diimport dari luar negara.
Bagaimanapun, keadaan itu dijangka berubah apabila kerajaan mula mengorak langkah memulihkan sektor huluan, termasuk memperluas semula kawasan tanaman koko dan menggalakkan pengeluaran tempatan bagi mengimbangi dominasi sektor hiliran yang telah lama kukuh.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pihaknya menyedari kekurangan bekalan biji koko di peringkat global serta peluang untuk meningkatkan pendapatan pekebun koko. Justeru, kerajaan melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) komited memulihkan semula ladang koko di negara ini bagi meningkatkan keluasan tanaman dan pengeluaran koko.
"Usaha ini sedang giat dijalankan dan kita menyeru penyertaan daripada penanam, pelabur dan koperasi untuk bersama menjayakan agenda nasional ini.
"Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai program peningkatan pendapatan untuk petani dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk program Kluster Koko serta penubuhan koperasi bagi membuka peluang ekonomi kepada pekebun kecil,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Festival Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) 2025, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Isnin.
Johari berkata, kerajaan melalui LKM juga memainkan peranan penting dalam memajukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) koko bagi meningkatkan daya saing industri.
"Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko di bawah LKM memberi tumpuan kepada penanaman koko, pemprosesan pascatuai, pembiakan baka, kawalan perosak, kawalan kualiti dan pembangunan produk.
"Usaha ini telah berjaya membangunkan varieti koko yang berhasil tinggi, tahan penyakit dan mempertingkatkan kaedah pemprosesan,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha dalam sektor huluan mula menunjukkan hasil positif apabila pengeluaran biji koko meningkat sebanyak 65 peratus, iaitu daripada 269 tan pada tahun 2023 kepada 445 tan pada tahun 2024.
"Walaupun jumlah pengeluaran ini masih kecil berbanding 490,000 tan biji koko yang diimport, namun kita perlu menghidupkan semula pengeluaran koko tempatan bagi mengurangkan ketidakseimbangan antara sektor hiliran yang kukuh dan sektor huluan yang terhad,” katanya.
Sehubungan itu, bagi memaksimumkan nilai kepada pekebun koko tempatan, Malaysia kini memberi tumpuan kepada varieti koko premium seperti biji koko berperisa istimewa, koko asal tunggal dan koko organik bagi memenuhi permintaan pasaran global yang semakin mementingkan kualiti dan kesihatan.
"Ini akan membolehkan jenama Malaysia diposisikan pada tahap nilai tambah tertinggi dalam rantaian bekalan.
"Penanaman varieti koko premium ini akan digandingkan dengan usaha memastikan rantaian bekalan koko yang mampan dan bertanggungjawab.
"Perkara ini bukan sahaja tepat pada masanya, malah sangat penting memandangkan kelestarian dan kebolehkesanan kini menjadi syarat utama yang akan terus membentuk hala tuju industri,” katanya.