KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan berlakunya jerebu bermula Julai hingga akhir September tahun ini, susulan perubahan Monsun Barat Daya.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufian Borhan berkata, persiapan itu dilakukan selepas Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena jerebu yang bermula sejak 10 Mei lalu.
"Walaupun ramalan utama melibatkan negeri di pantai barat, kita tetap mengambil serius situasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Bulan Mei Tahun 2025 JBPM Kelantan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya menerima empat set pam berkapasiti tinggi sebagai persediaan menghadapi kebakaran ketika cuaca panas khususnya di kawasan tanah gambut.
Beliau berkata, semua pam itu diterima pada Disember tahun lalu dan dihantar ke balai bomba yang kerap menerima panggilan berhubung kebakaran hutan dan tanah gambut.
"Empat balai bomba tersebut ialah di Bachok, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tunjong,” katanya.
Pada majlis sama, Farhan Sufian turut menyampaikan Sijil Watikah Bomba Junior melibatkan penyertaan pelajar dari Kota Bharu, Pasir Mas dan Rantau Panjang.
Beliau menambah, pihaknya menyasarkan 22 sekolah untuk menyertai program Bomba Junior dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.