Nur Alisya Humaira semakin sihat, tak kuning lagi

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kisah Nur Alisya Humaira yang menghidap kegagalan fungsi hati atau Biliary Atresia

SEREMBAN – Bayi berusia 11 bulan, Nur Alisya Humaira Mohd Shahril yang menghidap kegagalan fungsi hati atau Biliary Atresia (BA) kini semakin sihat selepas menjalani pembedahan hati di China pada Februari lalu.

Ibunya, Nur Atiqah Barawi, 33, meluahkan rasa syukur apabila perkembangan kesihatan anak bongsunya itu menunjukkan pemulihan yang positif.

Iklan
Iklan

"Dua hari sebelum Aidilfitri, kami selamat pulang ke Malaysia selepas sebulan berada di China.

"Alhamdulillah, saya sangat lega melihat perkembangan Humaira sekarang. Matanya dan kulit tidak lagi kekuningan dan perutnya juga tidak lagi membesar,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, Humaira kini semakin berselera makan dan lebih aktif berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, anaknya masih perlu menjalani rawatan susulan setiap minggu di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

Iklan

"Hatinya masih baru, jadi ia perlu dipantau secara berterusan. Humaira juga perlu mengambil ubat anti-rejection bagi memastikan hati baharu serasi dengan tubuhnya,” jelas Nur Atiqah.

Pada Februari lalu, Sinar Harian melaporkan pengorbanan Nur Atiqah yang sanggup mendermakan 20 peratus hatinya demi menyelamatkan nyawa Humaira agar anaknya itu dapat membesar sihat seperti kanak-kanak lain.

Humaira disahkan menghidap Biliary Atresia ketika berusia lapan bulan selepas mengalami penyakit kuning yang berpanjangan.

Keluarga tersebut turut menerima bantuan daripada Pertubuhan Biliary Atresia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjaya mengumpul dana sebanyak RM185,000 bagi membiayai kos pembedahan hati Humaira di China.

Nur Atiqah berkata, walaupun lega tidak lagi perlu memikirkan soal kos pembedahan, beliau tetap bimbang dengan kemungkinan kos tambahan bagi rawatan susulan yang masih diperlukan.