Prosiding hina mahkamah babit Isham Jalil dijadualkan Jumaat ini

Iklan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mendengar prosiding komital terhadap Isham Jalil Jumaat ini

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini dijadual mendengar prosiding komital terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil pada Jumaat ini berhubung dakwaan menghina mahkamah dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil didakwa mempersoalkan prosiding perbicaraan serta rayuan Najib termasuk proses penarikan diri Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang pernah mendengar kes 1MDB.

Iklan
Iklan

Pada 4 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memulakan prosiding komital, dengan permohonan agar hukuman penjara atau denda dikenakan terhadap Isham.

Menurut AG, kenyataan Isham yang dibuat dalam satu temu bual bertajuk"Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?” mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi kehakiman dan boleh menggugat keyakinan awam terhadap badan itu.

Iklan
Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu menetapkan Rabu ini bagi prosiding pemindahan kes pembunuhan membabitkan anggota polis, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu menetapkan Rabu ini bagi prosiding pemindahan kes pembunuhan membabitkan anggota polis, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Muhammad Alif, 27, didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara jam 9 pagi pada 10 Julai hingga 6 petang, 15 Julai 2024.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan.

Mangsa dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan ditemukan meninggal dunia dalam keadaan hampir reput pada 16 Julai 2024 di ladang kelapa sawit, dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum penemuan.

Dalam perkembangan lain, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menetapkan Isnin ini untuk mendengar rayuan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan empat yang lain berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan Public Bank Berhad membayar ganti rugi nominal RM510,000 atas kebocoran maklumat sulit akaun bank mereka pada 2012.

Panel hakim akan bersidang secara dalam talian bagi mendengar rayuan berkaitan liabiliti bank yang didapati melanggar kontrak kerahsiaan dengan pelanggan.

Rayuan ini melibatkan NFCorp, Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohamad Salleh Ismail serta tiga anak syarikat, National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Real Food Company Sdn Bhd.

Pada prosiding terdahulu, mereka diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Public Bank diwakili peguam KK Chan.

Mahkamah Rayuan pada 30 Ogos 2023 telah memerintahkan pembayaran RM510,000, merangkumi ganti rugi nominal RM10,000 dan kos guaman sebanyak RM500,000.

ARTIKEL BERKAITAN

Anggota polis didakwa membunuh Nur Farah Kartini

Mayat Nur Kartini ditemui hampir reput di ladang kelapa sawit - Polis