KUANTAN – Seorang pengurus ejen insurans terpedaya selepas menerima keuntungan awal sebanyak RM900 daripada pelaburan pertamanya, sebelum akhirnya mengalami kerugian hampir RM695,000 dalam satu skim pelaburan dalam talian.
Kejadian bermula pada 2 April lalu apabila wanita berusia 60 tahun itu diperdaya melalui satu iklan pelaburan di Facebook oleh individu yang menggunakan nama"Carmen Lee”.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata suspek mendakwa dirinya sebagai wakil syarikat Penunjuk Arah Kekayaan Malaysia dan mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi NB Plus serta mendaftar menggunakan maklumat peribadi.
"Pada 17 April lalu, mangsa membuat pelaburan pertama sebanyak RM5,000 ke dalam akaun yang diberikan dan menerima pulangan awal sebanyak RM900.
"Yakin dengan pulangan lumayan itu, mangsa menambah pelaburan dengan melakukan 22 transaksi berjumlah RM695,000 menggunakan wang simpanan peribadi serta pinjaman daripada rakan-rakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, mangsa cuba mengeluarkan semula modal dan keuntungan pada Jumaat lalu, namun dimaklumkan bahawa pengeluaran hanya dibenarkan pada hari bekerja.
"Keadaan itu menimbulkan kecurigaan sebelum mangsa menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong,” katanya.
Sehubungan itu, Azry Akmar menasihatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu sebelum menyertai sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
"Jangan mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan tanpa risiko,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang awam supaya menyemak nombor akaun dan nombor telefon yang diterima menerusi pautan rasmi https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.