[VIDEO] Petani Sabah ubah haluan, agro pelancongan lubuk rezeki komuniti

Iklan

PENAMPANG – Tidak hanya mahu terus bergantung sepenuhnya kepada hasil menoreh getah, seorang petani di Kampung Noturus di sini, nekad mengubah nasib diri dan komuniti setempat dengan menambah sumber pendapatan menerusi projek agro pelancongan di kampung tersebut.

Keindahan semula jadi kampung itu, termasuk kejernihan air sungai dan persekitarannya yang terpelihara, dilihat sebagai satu peluang yang harus dimanfaatkan penduduk untuk dijadikan produk pelancongan dan dimanfaatkan menerusi pertanian serta ternakan.

Iklan
Iklan

Menurut Pengerusi Pelancongan Komuniti Tolungan Riverside, Kirih Etus, 42, peluang itu semakin cerah apabila beliau mendapat maklumat tentang pelbagai insentif kerajaan untuk komuniti menjalankan aktiviti menjana ekonomi setempat.

"Sebelum ini saya cuma bekerja sebagai pemandu lori selama 14 tahun tetapi berhenti dan kemudian melakukan kerja menoreh getah di kebun serta menjual hasil tanaman sayur kampung di Tamu Dongonggon.

Iklan

"Tapi masa itu, saya terfikir juga saya tidak mahu hanya setakat sebagai penoreh getah semata-mata. Ada masa lapang, kita sepatutnya boleh gunakan untuk melakukan kerja lain. Jadi dengan hanya bermodalkan wang simpanan sendiri, saya membina kolam untuk ternakan ikan.

"Selepas itu, saya terfikir untuk kembangkan projek ini bersama penduduk bagi menjana pendapatan komuniti, lalu mengumpulkan mereka yang berminat dan terciptalah Tolungan Farm. Dalam masa sama, kami mencari agensi untuk mendapatkan bantuan serta dana menerusi program di bawah kementerian pelancongan, ada juga dari program Sejati Madani dengan tujuan untuk memperluaskan projek menjana ekonomi," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan
Aktiviti agro pelancongan lonjak ekonomi penduduk Kampung Noturus, Penampang.

Kirih yang juga Penyelia Unit Pimpinan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bahagian Moyog berkata, seramai 12 penduduk kampung terlibat dalam projek tersebut yang dimulakan pada tahun lalu dan diketuai olehnya sendiri.

Menurutnya lagi, selain menternak ikan, mereka turut menanam sayur secara hidroponik memandangkan ternakan ikan mengambil masa lebih lama, sedangkan sayur boleh dituai dalam tempoh sebulan setengah.

"Jadi saya pun belajar melalui YouTube bagaimana untuk menghasilkan tanaman jenis hidroponik dan kini kami sudah berjaya membuat dua kali penanaman, iaitu hanya mengambil masa 45 hari sebelum hasilnya dituai dan mendapat sekitar RM1,000 hasil daripada jualan sayur.

"Setakat ini, tanaman yang sudah berjaya adalah sayur pak choy, salad, sawi manis dan pahit. Hasil daripada jualan sayur ini kami gunakan untuk membeli baja ikan sementara menunggu ikan matang sehingga enam bulan sebelum boleh dituai hasilnya.

"Ikan pun ada yang sudah matang sekitar 600 ekor dan sudah mulai memberi hasil dengan jualan sekitar RM300. Antara ikan yang kami ternak ialah ikan tilapia merah dan keli Afrika. Ketika ini, kami iklankan di laman sosial jika sesiapa berminat untuk membelinya," katanya.

Tambah Kirih lagi, kedua-dua projek yang dijalankan itu mendapat sambutan memberangsangkan dan penduduk turut menerima manfaatnya.

"Hasil daripada jualan ikan dan sayur kami gunakan untuk menambah baik kemudahan di kawasan ini memandangkan ia juga dijadikan sebagai produk pelancongan kami.

"Menerusi program seumpama ini, dapatlah menjana kewangan. Sebahagian hasilnya kami masukkan ke dalam tabung komuniti dan keuntungan akan dibahagikan kepada yang terlibat nanti," katanya.

Kirih turut berkata, mereka melaksanakan program agro pelancongan dengan menyediakan tempat penginapan dan kawasan riadah untuk pelawat dan di sini juga peranan golongan muda diperlukan dengan memberi mereka pekerjaan sambilan sementara menunggu keputusan peperiksaan atau melanjutkan pengajian nanti.

"Di sini kami ada sediakan tempat penginapan, ruang untuk riadah, tapak perkhemahan serta aktiviti di sungai iaitu pancing ikan dan lepas semula.

"Selain itu, kami juga menerima kunjungan pelajar universiti menerusi program yang dipersetujui bersama untuk mereka menjalankan kajian dan sebagainya.

"Untuk semua aktiviti ini, tenaga kerja diperlukan dan sudah tentu penduduk kampung terutama generasi muda yang baru tamat persekolahan diberi peluang bekerja sambilan sama ada memantau tanaman dan ternakan atau menjaga keselamatan pelawat, terutamanya di kawasan sungai," katanya.