12 pemandu e-hailing maut akibat tekanan kerja melampau

Iklan
Penunggang ojek dalam talian (Ojol) mengadakan demonstrasi di kawasan Patung Kuda Arjuna Wijaya, Jakarta pada Selasa. Foto Agensi

JAKARTA - Aksi protes besar-besaran melibatkan ribuan pemandu ojek (teksi motosikal) dan teksi dalam talian di Jakarta serta 17 bandar lain pada Selasa lalu mencetuskan amaran keras kepada kerajaan Indonesia berhubung nasib golongan pekerja gig yang semakin terhimpit.

Menurut Serikat (Persatuan) Pengemudi Online Indonesia (SPOI), sekurang-kurangnya 12 pemandu telah meninggal dunia akibat keletihan melampau, dengan ada yang terpaksa bekerja sehingga 18 jam sehari demi memperoleh pendapatan harian sekitar 300,000 rupiah (kira-kira RM78).

Iklan
Iklan

"Teksi dalam talian terutamanya, hampir 12 orang rakan kami telah meninggal dunia akibat keletihan bekerja. Untuk mendapatkan 300,000 rupiah, kami terpaksa memandu selama 18 jam sehari. Rakan-rakan pemandu ojol (ojek dalam talian) telah mengalaminya sejak Ogos 2024,” kata Mahmud Fly, Pengerusi Umum SPOI dalam satu kenyataan ketika protes di kawasan Monas, Jakarta Pusat.

Lebih menyayat hati, Mahmud turut mendedahkan kejadian tragis di Medan, di mana seorang pemandu ojek dalam talian dilaporkan meninggal dunia akibat kebuluran ketika menunggu pesanan makanan daripada pelanggan.

Iklan

"Bayangkan, kita membeli makanan untuk orang lain, tetapi kita sendiri kebuluran hingga meninggal dunia. Ini kerana kerajaan tidak ambil peduli,” katanya dalam nada kesal.

Mahmud turut menyelar kerajaan yang menurutnya telah menutup mata selama 10 tahun sejak perkhidmatan pengangkutan dalam talian diperkenalkan di Indonesia.

Katanya, para pemandu sekadar dijadikan alat politik oleh golongan elit.

Iklan

Beliau juga meluahkan rasa kecewa terhadap dua syarikat pengendali aplikasi utama yang didakwa enggan hadir ke sesi dialog di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) biarpun telah beberapa kali dipanggil untuk membincangkan isu kebajikan pemandu.

"Kami sudah beberapa kali dipanggil ke DPR, namun dua syarikat besar itu tidak hadir. Kami minta supaya mereka digantung. Ini panggilan dari negara. Kalau tak datang, bermakna mereka tidak menghormati negara,” tegasnya. – Agensi